Jangan harap pertolongan parti lain, bina kekuatan sendiri- Mohamad Hasan

Iklan
Mohamad ketika penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR- Tiada parti lain yang benar-benar mahu melihat UMNO bangkit semula kerana setiap parti mempunyai kepentingan politik masing-masing.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak boleh mengharapkan ihsan parti lain sebaliknya perlu bergantung kepada kekuatan sendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Iklan
Iklan

"Tidak ada siapa yang nak melihat UMNO dibangkit semula, berbohonglah saya jika saya katakan ada parti lain yang nak membimbing kita untuk kita bangkit dan bangun semula.

"Jangan kita mimpi di siang hari, semuanya nak melihat kita dibenamkan ataupun ditalkinkan," katanya ketika penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, apabila UMNO kuat, pihak lain tidak boleh mengambil kesempatan dengan menganggap parti itu lemah.

Katanya, UMNO juga mempunyai pengalaman berdepan kekecewaan sebelum ini dan tidak seharusnya mengulangi perkara sama.

Iklan

“Ada orang yang mengambil peluang, menganggap kita lemah, mengambil peluang untuk bersama-sama tetapi percayalah saudara-saudari sekalian bahawa kita pernah berpengalaman macam mana kita dikecewakan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut menyeru anggota UMNO supaya menyusun gerak kerja menjelang pilihan raya di Melaka selain mengambil contoh kejayaan parti di Johor dan Negeri Sembilan yang berjaya membentuk kerajaan.

“Kami di Negeri Sembilan dan di Johor dah lapang dada dah. Kami dah menang. Dah tubuh kerajaan. Sekarang tiba gilirannya negeri-negeri lain, pakat-pakat kena menang,” katanya.