PAU 2026: Gerakkan Agenda Malaysia Biru jadi tsunami biru seluruh negara – Wan Rosdy

Iklan
Wan Rosdy ketika mengulungkan ucapan dasar presiden pada PAU 2026 di WTCKL pada Sabtu - Foto : SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - UMNO perlu menggerakkan Agenda Malaysia Biru yang dibawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sehingga menjadi tsunami biru di seluruh negara bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau menyokong kuat Agenda Malaysia Biru yang dibawa oleh Ahmad Zahid.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau menegaskan, agenda berkenaan perlu diterjemahkan kepada tindakan dan dibawa turun ke akar umbi, selain digerakkan secara bersama oleh seluruh kekuatan parti.

"Agenda sebesar ini tidak akan bergerak dengan sendirinya. Ia mesti diterjemahkan kepada tindakan. Ia mesti dibawa turun ke akar umbi.

Iklan

"Dan yang paling penting, ia mesti digerakkan oleh kita semua, supaya gelombang biru yang telah bermula menjadi tsunami biru di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulungkan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Iklan

Justeru, Wan Rosdy berkata, Agenda Malaysia Biru perlu diperkukuhkan melalui empat pendekatan iaitu BIRU meliputi (B) bina hubungan, (I) ikat pengundi, (R) rampas hati dan (U) ubah persepsi.

“Kita bina hubungan dengan rakyat, bukan hanya ketika pilihan raya, tetapi sepanjang masa. Sekarang ini bukan kita tak bina hubungan, tetapi tidak menyeluruh.

Untuk itu kita wajib dekati anak muda, golongan profesional, usahawan, petani, pekerja, wanita dan masyarakat akar umbi,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, UMNO juga perlu mengikat pengundi melalui khidmat, kepercayaan dan membantu masalah rakyat.

“Jangan hanya meminta undi, kita mesti memberikan sebab untuk rakyat terus percaya kepada UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, UMNO perlu merampas hati rakyat dengan kerja yang nyata, bahasa yang dekat dengan rakyat serta kepimpinan yang memahami denyut nadi mereka.

“Rakyat tidak hanya mahu mendengar apa yang kita katakan, mereka mahu melihat apa yang kita lakukan untuk mereka.

“Fokus kepada yang atas pagar, pengundi muda, pengundi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang telah mulai menjauh,” katanya.

Beliau berkata, UMNO juga mesti berani mengubah persepsi terhadap parti itu dengan membawa naratif perjuangan, pencapaian dan tawaran masa depan UMNO kepada rakyat.

“Kita mesti berani mengubah persepsi terhadap UMNO. Jangan biarkan orang lain menentukan cerita tentang kita.

“Kita sendiri mesti membawa naratif perjuangan, pencapaian dan tawaran masa depan UMNO kepada rakyat. Tunjukkan rekod perkhidmatan kita,” katanya.

Wan Rosdy berkata, pendekatan itu merupakan gerak kerja yang perlu diterjemahkan dalam usaha mendapatkan kembali keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Inilah BIRU yang saya maksudkan. Bukan sekadar warna. Bukan sekadar slogan. Tetapi satu gerak kerja yang bukan hanya diukur dengan ramai orang datang ke program, tetapi bagaimana kita hendak menukar kehadiran itu kepada undi,” tegasnya lagi.