'Jangan angkuh, rakyat mahu penyatuan PN-BN' - Muzzammil tegur UMNO Kedah

Iklan
Dr Muzzammil Ismail

ALOR SETAR – UMNO Kedah disaran supaya tidak terlalu angkuh dalam menentukan bentuk kerjasama politik dengan Pas dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya membuka ruang kepada usaha penyatuan demi kepentingan rakyat serta kestabilan politik negara.

Penyelaras Pemuda Parti Wawasan Negara (Kedah), Ts Dr Muzzammil Ismail berkata, landskap politik semasa tidak lagi tertumpu kepada persoalan parti mana lebih besar atau lebih dominan, sebaliknya memerlukan kesediaan semua pihak mencari titik persamaan bagi membina kestabilan dan konsensus politik.

Iklan
Iklan

“Jangan angkuh, rakyat mahukan penyatuan. Bermuhasabahlah.

“Politik hari ini bukan lagi tentang siapa parti besar dan siapa parti kecil. Rakyat di peringkat akar umbi mahu melihat penyatuan ummah, kestabilan dan konsensus politik antara PN dan Barisan Nasional (BN).

Iklan

“Bukan pemimpin yang belum apa-apa sudah sibuk menentukan siapa layak dan siapa tidak layak untuk bekerjasama,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang memetik pendirian UMNO Kedah untuk memulakan perbincangan awal secara tidak rasmi dengan Pas, namun pada masa sama menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PN.

Iklan

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, dilaporkan berkata pendirian tersebut dibuat kerana PN turut dianggotai beberapa parti yang disifatkan tidak mempunyai pengaruh politik yang kuat.

Mengulas lanjut, Muzzammil berkata, isu penyatuan politik tidak seharusnya dilihat hanya daripada perspektif politik Kedah atau kepentingan sesebuah parti semata-mata.

Menurutnya, semua pihak perlu mengambil kira kepentingan yang lebih besar termasuk usaha menggabungkan kekuatan politik bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang lebih stabil dan berkesan.

“UMNO Kedah perlu melihat realiti politik semasa. UMNO bukan kerajaan di Kedah ketika ini.

“Malah prestasi parti itu di negeri-negeri SG4 sepatutnya menjadi ruang untuk bermuhasabah, bukannya mendabik dada,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa jika UMNO benar-benar yakin dengan kekuatannya, parti itu boleh memilih untuk bertanding secara bersendirian dalam pilihan raya.

“Kalau UMNO merasakan dirinya cukup kuat, bertandinglah secara solo.

“Formula pilihan raya tetap sama. Apabila peti undi dibuka, keputusan sebenar akan menentukan siapa yang mendapat sokongan rakyat,” ujarnya.

Muzzammil berkata, sekiranya semua pihak benar-benar mahu mendapatkan semula kepercayaan rakyat, perbincangan politik perlu tertumpu kepada persamaan yang boleh disepakati dan bukannya mencari alasan untuk menutup pintu kerjasama.

“Jangan kerana ego politik segelintir pemimpin, hasrat rakyat di bawah untuk melihat penyatuan akhirnya terkubur.

“Politik sudah berubah dan rakyat semakin matang. Yang retak perlu dicantumkan, yang jauh perlu didekatkan,” katanya.