KUALA TERENGGANU – Isyarat desakan supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal yang timbul selepas Perhimpunan Agung UMNO 2026 (PAU 2026) dilihat menjadikan September 2026 sebagai persimpangan strategi politik, bukannya petunjuk bahawa Parlimen akan dibubarkan secara automatik dalam masa terdekat.
Penganalisis politik, Dr Azrie Azeh berkata, penentuan tarikh PRU16 tidak hanya bergantung kepada tekanan politik, sebaliknya berkait rapat dengan pertimbangan pengurusan risiko dan keupayaan pentadbiran kerajaan semasa.
“PRU16 bukan sekadar persoalan kalendar, sebaliknya merupakan persoalan pengurusan risiko politik antara keupayaan kerajaan membuktikan prestasi dan kesiapsiagaan parti-parti politik untuk menuntut semula mandat rakyat,” katanya.
Menurut beliau, persoalan itu menjadi semakin relevan selepas PAU 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 9 hingga 12 September lalu, yang menyaksikan pelbagai perbahasan berkaitan hala tuju politik negara.
Dr Azrie berkata, Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, secara terbuka menyuarakan pandangan bahawa PRU16 perlu disegerakan bagi mengembalikan mandat kepimpinan negara kepada rakyat.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa seruan politik tersebut perlu dibezakan daripada kedudukan sebenar dari sudut perlembagaan.
“Parlimen Ke-15 yang mula bersidang pada 19 Disember 2022 hanya akan terbubar secara automatik pada 19 Disember 2027.
“Jika Parlimen dibiarkan mencapai tempoh maksimum lima tahun, pilihan raya umum masih boleh diadakan sehingga awal 2028 berdasarkan tempoh 60 hari selepas pembubaran,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan UMNO sedang memperlihatkan tahap kesiapsiagaan organisasi yang lebih tersusun menerusi perbahasan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri yang memberi tumpuan kepada isu pemulihan kepercayaan rakyat, integriti, generasi muda dan kos sara hidup.
Menurutnya, keyakinan tersebut turut dipengaruhi oleh prestasi Barisan Nasional (BN) dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini, termasuk kemenangan besar di Johor dan Negeri Sembilan.
“Bagaimanapun, kemenangan di peringkat negeri hanyalah indikator momentum politik dan bukannya jaminan kejayaan pada peringkat nasional,” jelasnya.
Dr Azrie berkata, Ahmad Zahid turut mengetengahkan beberapa gagasan politik dan ekonomi termasuk Agenda Malaysia Biru, yang antara lain menyentuh soal penstrukturan percukaian serta kerangka kerjasama politik lebih luas menerusi konsep ‘Tafahum Siyasi’ dan Kolaborasi Agung bagi mengelakkan pertembungan kerusi pilihan raya.
Beliau berpandangan perkembangan tersebut meletakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam situasi yang memerlukan pertimbangan strategik yang teliti.
“Pilihan raya lebih awal membolehkan kerajaan menguji mandat ketika keadaan politik relatif stabil, tetapi ia juga bermakna masa pentadbiran perlu dipendekkan.
“Sebaliknya, jika pilihan raya ditangguhkan, kerajaan mempunyai lebih banyak masa untuk membuktikan prestasi ekonomi dan pentadbiran, namun berdepan risiko munculnya isu-isu baharu yang boleh mempengaruhi sentimen rakyat,” katanya.
Menurut beliau, kuasa untuk membubarkan Parlimen tetap tertakluk kepada ketetapan Perlembagaan Persekutuan dan bukan keputusan politik semata-mata.
“Apa pun keadaan, kuasa pembubaran Parlimen tertakluk di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Ini bermakna Perdana Menteri tidak membuat keputusan secara unilateral dalam perkara tersebut,” katanya.
Justeru, Dr Azrie berpendapat bahawa perdebatan pasca PAU 2026 tidak seharusnya hanya tertumpu kepada persoalan bila PRU16 akan diadakan.
“Pada akhirnya, persoalan yang lebih penting bukan sekadar tarikh pilihan raya, tetapi siapa yang paling berjaya menukar tempoh masa yang ada kepada kepercayaan rakyat dan seterusnya diterjemahkan dalam bentuk mandat pemerintahan,” ujarnya.