KUALA LUMPUR – Pelan Persediaan Haji atau Seruan Istito’ah yang diperkenalkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) disifatkan sebagai satu langkah penting dalam mengubah budaya persediaan menunaikan ibadah haji daripada sekadar menunggu tawaran kepada membuat perancangan lebih awal dan tersusun.
Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia), Dr Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata, inisiatif tersebut wajar disokong kerana mampu memastikan bakal jemaah bukan sahaja memperoleh peluang menunaikan haji, malah benar-benar bersedia apabila tiba giliran mereka.
“Bumitra Malaysia menyokong penuh usaha Tabung Haji dalam memperkukuh agenda istito’ah.
“Haji bukan sekadar soal mendapat giliran atau menerima tawaran. Ia adalah soal kemampuan dan kesiapsiagaan untuk menyahut panggilan Allah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Menurut beliau, konsep istito’ah perlu difahami secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada kemampuan kewangan semata-mata.
Katanya, aspek ilmu, kesihatan, kekuatan fizikal serta persediaan rohani turut memainkan peranan penting dalam memastikan bakal jemaah dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.
“Mendapat giliran belum tentu bermakna seseorang itu benar-benar bersedia.
“Sebab itu budaya merancang, menyimpan dan mempersiapkan diri lebih awal perlu terus diperkasakan,” katanya.
Wan Muhamad Adam berkata, Pelan Persediaan Haji yang diperkenalkan TH menyediakan laluan lebih tersusun kepada pendeposit yang berhasrat menunaikan ibadah berkenaan.
Menurutnya, pendeposit yang memenuhi syarat akan mendapat giliran haji secara automatik apabila simpanan mereka mencapai RM15,000.
Bagi pendeposit yang telah mendaftar haji pula, mereka diberikan tempoh sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai sasaran simpanan minimum tersebut secara berperingkat.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan berkenaan bukan sekadar berkaitan urusan simpanan atau giliran haji, sebaliknya bertujuan membentuk budaya persediaan yang lebih sistematik dalam kalangan umat Islam.
“Pendekatan ini membantu memastikan bakal jemaah bukan sahaja mendapat peluang menunaikan haji, tetapi benar-benar bersedia apabila peluang itu tiba,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Bumitra Malaysia turut mengalu-alukan pengenalan beberapa inisiatif baharu oleh TH termasuk Kalkulator Simpanan Haji, Tabung Istito’ah dan kemudahan Multi Tabung bagi membantu masyarakat merancang simpanan secara lebih berdisiplin dan berfokus.
Menurut Wan Muhamad Adam, keperluan terhadap persediaan awal turut dibuktikan melalui data TH yang menunjukkan hampir 50 peratus pendeposit yang menerima tawaran haji sebelum ini terpaksa menangguhkan pemergian mereka.
Bagaimanapun, selepas syarat baki simpanan minimum RM15,000 diperkenalkan pada 2025, kadar penangguhan tersebut berjaya dikurangkan kepada 18 peratus.
“Perkembangan ini menunjukkan bahawa aspek kemampuan dan kesiapsiagaan memainkan peranan penting dalam memastikan bakal jemaah dapat memenuhi tawaran haji apabila tiba masanya,” katanya.
Beliau berkata, sebagai persatuan yang mewakili syarikat pengendalian pelancongan Bumiputera termasuk pemain dalam ekosistem haji dan umrah, Bumitra Malaysia percaya kejayaan agenda istito’ah memerlukan kerjasama seluruh ekosistem berkaitan.
Kerjasama itu, katanya, melibatkan TH, kerajaan, pemain industri, institusi berkaitan serta masyarakat dalam memperkukuh kefahaman mengenai konsep istito’ah.
“Bumitra Malaysia bersedia bekerjasama dengan Tabung Haji dalam usaha memperluaskan pendidikan serta kefahaman mengenai istito’ah kepada masyarakat.
“Usaha ini penting bagi meningkatkan kesiapsiagaan bakal jemaah dan membudayakan perancangan haji lebih awal,” katanya.
Menurut beliau, matlamat utama yang ingin dicapai adalah memastikan lebih ramai umat Islam di Malaysia bukan sekadar memasang impian untuk menunaikan haji, tetapi benar-benar bersedia dari segi kewangan, ilmu, kesihatan, fizikal dan rohani apabila tiba waktunya.