ALOR SETAR – Calon pengganti Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain masih belum dibincangkan setakat ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu belum dibawa ke peringkat perbincangan susulan keputusan mengembalikan pegawai berkenaan ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Belum, kita belum bincang,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai perkara itu.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah di Dewan Insaniah, Kompleks Lembaga Zakat Negeri di sini pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, perkara itu perlu diuruskan mengikut prosedur dan aturan perkhidmatan awam susulan pertuduhan yang dikenakan terhadap pegawai terbabit.
“Dari segi penjawat awam, apabila seseorang telah dikenakan pertuduhan, ada sistem dan aturan yang perlu diuruskan oleh bahagian perkhidmatan awam,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shuhaily dilihat kembali menjalankan tugas menerusi hantaran di laman Facebook rasmi AKPS pagi Isnin selepas bercuti minggu lalu, termasuk mempengerusikan Mesyuarat Commander’s Call Bilangan 3/2026.