[VIDEO] Lebih tiga tahun, sudah ada ‘mood’ adakan pilihan raya - Tok Mat

Iklan

KUALA LUMPUR - Selepas tempoh pemerintahan melepasi tiga tahun, lazimnya sudah wujud ‘mood’ untuk mengadakan pilihan raya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti politik sentiasa mahu mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

Iklan
Iklan

"Sekarang dah lebih daripada tiga tahun biasanya 'mood' untuk buat pilihan raya itu memang selalunya selepas tiga tahun.

"Jadi, sama ada nak dibuat atau tidak, itu terpulanglah kerana parti politik akan sentiasa mahu mengambil mandat yang baharu daripada rakyat," katanya ketika ditemui pemberita ketika lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, UMNO sebagai antara parti politik yang juga mempunyai kepentingan dalam politik tanah air mahukan rakyat mengundi menentukan kerajaan yang mereka mahukan.

"Kita nak supaya kita mendapat mandat baru daripada rakyat ataupun pengundi kita agar rakyat boleh memastikan bahawa mereka mahukan kerajaan yang mereka pilih," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mengenai perbincangan dengan Pas, Mohamad berkata, rundingan tersebut boleh diteruskan namun kepimpinanan tertinggi parti yang akan memutuskan.

"Biarlah mereka buat apa sahaja perbincangan di peringkat negeri dan apa juga perbincangan mereka itu mereka perlu bawa ke pengetahuan ibu pejabat.

"Bila tiba masanya nanti pengurusan di ibu pejabat akan meneliti setiap apa jua rundingan, perbincangan yang dilakukan kerana seperti yang saya sebut dalam ucapan saya, 'there's no one-size-fits-all.

"Keadaan dalam politik di tanah air sekarang ini tidak seragam lagi. Jadi kita tidak boleh menggunakan satu formula yang boleh diguna pakai untuk semua negeri," ujarnya.