'Salah pilih kawan, kita kena sawan' - Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan

Iklan
Mohd Fadil membahaskan ucapan dasar presiden sempena PAU 2026 pada Sabtu. - FOTO: Mohd Halim Abdul Wahid

KUALA LUMPUR - UMNO perlu bijak memilih rakan kerjasama dalam menghadapi suasana politik yang sangat dinamik bagi memastikan parti itu tidak menerima kesan buruk akibat tersalah membuat pilihan.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohd Fadil Md Zain berkata, politik bukan sekadar soal emosi dan persepsi, sebaliknya memerlukan tanggungjawab, keberanian membuat keputusan serta kebijaksanaan menentukan jalan terbaik demi masa depan rakyat dan negara.

Iklan
Iklan

“Kalau UMNO salah memilih sahabat, takut nanti ahli kita pula yang kena sebat. Sebab itu kita perlu bijak,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Mohd Fadil berkata, UMNO ketika ini di Negeri Sembilan telah memilih Pas sebagai salah seorang rakan kerjasama parti tersebut.

Iklan

"Kepada Pas, kami mohon supaya buat kami kembali sawan. Kepada rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional (BN), iaitu MCA dan MIC, saya ingin katakan, 'Anda tidak perlu takut dengan penyatuan ini.

"Anda tidak perlu gentar dengan kerjasama ini kerana di Negeri Sembilan, kami telah membuktikannya," ujarnya.

Iklan

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, MCA kini berjaya memperoleh dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan daripada tidak mempunyai satu pun kerusi sebelum ini.

Lebih membanggakan, kata Mohd Fadil, calon MCA yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan itu berjaya mengalahkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Dalam pada itu, beliau berpandangan, kuasa amat penting bagi membolehkan UMNO memperjuangkan nasib anak bangsa di tanah air.

Katanya, tanpa kuasa, suara UMNO hanya tinggal suara dan hasrat serta cita-cita untuk membela rakyat tidak dapat diterjemahkan menjadi tindakan yang nyata.

“Sebab itulah kuasa amat penting. Dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia, kuasa itu tidak datang sendiri. Kuasa tidak diwarisi begitu sahaja.

“Kuasa mesti diperoleh melalui pilihan raya, melalui keyakinan rakyat, sokongan rakyat dan mandat daripada rakyat,” katanya.

Mohd Fadil berkata, pengalaman UMNO Negeri Sembilan ketika menjadi pembangkang membuktikan kepentingan membuat keputusan politik secara bijaksana.