KUALA LUMPUR - Kepimpinan tertinggi UMNO diingatkan supaya berhati-hati dalam membuat rundingan dengan pihak ‘satu lagi’ bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat sama rata.
Tanpa menamakan pihak ‘satu lagi’, Jurucakap UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, semua pertimbangan perlu diambil kira sebelum membuat sesebuah ketetapan.
“Berkira-berkira juga Datuk Seri, nanti balik 40 kosong pula. Jadi, Datuk Seri berkira biar matang, berunding biar tenang. Jangan sorang sahaja menang (tapi) biar sama-sama senang,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Perikatan Nasional (PN) Pas Terengganu menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, UMNO negeri dalam masa sama turut akur dengan sebarang ketetapan yang dibuat Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan barisan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Ujarnya, UMNO Terengganu juga memberi jaminan untuk tidak sesekali menjadi gunting dalam lipatan dan menikam bahtera dari dalam.
“Kami sedar selera pengundi Terengganu cepat pasang dan cepat surut. Rakyat Terengganu celik politik. Apa yang berlaku semalam bukan penamat tapi ia adalah ujian untuk membersihkan jiwa pejuang kita.
“Kami sedang menyusun barisan, merapatkan saf, melipatgandakan khidmat bakti. Dari Kemaman ke Besut, dari Hulu Terengganu ke pesisir Kuala Terengganu kami berjanji UMNO Terengganu akan bangkit semula menebus maruah parti di bumi Darul Iman,” katanya.