Tuntutan LINDUNG 24 Jam di Kelantan meningkat

Iklan
Ahli Kemudi yang diraikan oleh pihak PERKESO Kelantan.

KOTA BHARU – Jumlah tuntutan kemalangan di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di Kelantan meningkat empat kali ganda pada Ogos berbanding bulan pertama pelaksanaan skim berkenaan.

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Wan Izani Wan Isa berkata, sebanyak 64 kes diluluskan pada Ogos berbanding 16 kes pada Jun, menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan yang diluluskan bagi tempoh Jun hingga Ogos sebanyak 120 kes.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua tuntutan berkenaan melibatkan bayaran berjumlah RM66,691.96.

“Pada Jun sebanyak 16 kes diluluskan, Julai 40 kes manakala pada Ogos meningkat kepada 64 kes iaitu peningkatan empat kali ganda.

Iklan

“Antara tuntutan melibatkan kemalangan semasa pergi ke pasar, perjalanan menghantar anak ke pusat tuisyen, terjatuh pokok dan ketika melakukan aktiviti riadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Libat Urus dan Jaringan Mesra PERKESO bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir, Pengerusi KEMUDI, Yatimin Abdullah yang menerima sijil penghargaan bersama wakil-wakil agensi media masing-masing.

Sebelum ini akhbar melaporkan 8.5 juta atau 87.6 peratus pekerja memilih kekal mencarum LINDUNG 24 Jam selepas diberi pilihan untuk menarik diri.

Hanya 12.4 peratus pekerja memilih keluar, namun sekitar 10,000 pekerja mencarum semula.

Katanya, pekerja memilih untuk keluar daripada perlindungan berkenaan selepas kurang memahami manfaat sebenar skim tersebut.

“Apabila diberi penerangan dan penjelasan, mereka memahami kedudukan sebenar dan memilih untuk masuk semula.

“Pekerja yang sudah memilih untuk keluar, masih boleh kembali menyertai skim berkenaan pada bila-bila masa tanpa had tempoh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Izani berkata, PERKESO turut terus memberi penerangan kepada majikan dan pekerja bagi meningkatkan pemahaman mengenai skop perlindungan LINDUNG 24 Jam.

“Skim ini memberi perlindungan 24 jam di luar waktu kerja kepada pekerja yang kemalangan, tidak kira puncanya,” katanya.

Menurutnya, LINDUNG 24 Jam mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu bagi memberikan perlindungan kepada pekerja terhadap kemalangan bukan bencana kerja.

Beliau berkata, kadar caruman bagi skim berkenaan ialah 0.75 peratus berdasarkan gaji pekerja dan caruman itu ditanggung sepenuhnya oleh pekerja melalui potongan gaji.

“Bagi pekerja yang memilih untuk kekal menyertai skim itu tidak lagi boleh menarik diri selepas tempoh pilihan keluar ditutup pada 31 Ogos lalu,” katanya.

Sesi libat urus yang bertemakan Alam Flora dan Fauna itu dihadiri lebih 40 pengamal media dari pelbagai agensi termasuk Sinar Harian.