Calon SPM berisiko banjir akan dipindahkan ke asrama

Iklan
Siti Norina (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada Nik Abdul Kadir (tiga dari kanan) pada majlis Sambutan 100 tahun Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan di Dewan Nahkoda Haji Wan Ali, Tumpat pada Jumaat.

TUMPAT – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berisiko terjejas banjir di Kelantan akan dipindahkan ke asrama bagi memastikan mereka dapat menduduki peperiksaan ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kekosongan asrama di beberapa sekolah untuk menempatkan calon terbabit lebih awal.

Iklan
Iklan

“Kami lakukan persiapan rapi, kumpulkan senarai kekosongan asrama supaya pelajar dapat ditempatkan dengan segera apabila diperlukan.

“Mereka ini mungkin akan dipindahkan sebelum ujian bertulis bermula,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan 100 tahun Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan di Dewan Nahkoda Haji Wan Ali, di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Guru Besar Mohd Fadil Othman.

Iklan

Menurut Siti Norina, persediaan berdepan MTL itu turut mengambil kira pengalaman tahun-tahun lalu termasuk membabitkan pelajar dari Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Al-Falah, Rantau Panjang, Pasir Mas dan SMUA Nurul Huda, Tumpat.

Tambahnya, dari segi pengangkutan, beliau berkata, bas sekolah disediakan bagi membawa calon ke lokasi penempatan sementara berkenaan.

“JPN juga akan berkerjasama dengan agensi berkaitan termasuk bomba bagi memastikan urusan persediaan dan pemindahan pelajar berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, bagi sambutan ulang berkenaan turut mengiktirafan 10 tokoh alumni.

Sambutan itu turut diserikan dengan pembukaan galeri yang mempamerkan pelbagai rekod dan bahan sejarah sekolah sejak penubuhannya.

Galeri berkenaan menjadi ruang untuk warga sekolah dan pengunjung melihat kembali perjalanan serta perkembangan institusi pendidikan itu sepanjang satu abad.

Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad juga bekas pelajar sekolah berkenaan merupakan antara tokoh alumni yang menerima anugerah atas sumbangan dan jasa beliau di negeri ini.