Festival Budaya Selangor tampil kepelbagaian seni sembilan daerah

Iklan
Pelbagai program menanti orang ramai yang berkunjung ke festival ini.

KUALA LANGAT - Kepelbagaian seni dan budaya dari sembilan daerah di Selangor bakal diserlahkan menerusi Festival Budaya Selangor (FBS) 2026 yang berlangsung selama lima hari bermula 16 hingga 20 September ini.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam kenyataan memaklumkan, festival anjuran JKKN Selangor bersama Keydean Ahmad Resources dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor itu berlangsung di Dataran Pantai Batu Laut, Kuala Langat.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, FBS kali ini merupakan penganjuran kali ketiga yang mengetengahkan kepelbagaian seni dan budaya etnik di negeri Selangor.

"Pantai Batu Laut dipilih sebagai lokasi penganjuran yang turut menyerlahkan keindahan pesisir pantai, manakala edisi kali ini menampilkan irama Cempuling bersama pelbagai irama tradisi dan nostalgia dalam nafas baharu.

Iklan

Orang ramai juga berpeluang menyaksikan persembahan istimewa 'Emas 9' sempena Majlis Perasmian pada 19 September, jam 8 malam.

'Emas 9' melambangkan kekayaan dan kepelbagaian khazanah seni serta budaya masyarakat di sembilan daerah di Selangor menerusi muzik, tari, bahasa, busana dan adat resam.

Iklan

Antara pengisian menarik yang disediakan ialah Pasar Klasik, Floating Market @ Sand, Ghost Fun Run, Pertandingan Gema Cempuling dan Pertandingan Wau Kapal.

Turut dianjurkan ialah Futsal Kain Sarong, Pertandingan Sukan Rakyat, Pertandingan Senam Seni Pantai, Demonstrasi Silat dan Silambam di Pantai serta Dapur Panas 'Emas 9'.

Festival berkenaan turut menampilkan Pertandingan Tanglung, Karom Warrior, Marhaban, Tarian India, Masakan Tradisi dan aktiviti Kacau Dodol Malon.

Kepelbagaian seni dan budaya dari sembilan daerah di Selangor bakal diserlahkan menerusi Festival Budaya Selangor (FBS) 2026 yang berlangsung selama lima hari bermula 16 hingga 20 September ini.

Selain itu, Laman Santai Family serta Perkampungan Budaya Campervan turut disediakan bagi memberi pengalaman lebih menarik kepada pengunjung.

Bagi pencinta muzik, festival itu turut menyajikan Konsert Malaysia Kita sempena Hari Malaysia 'Samudera', Konsert Nostalgia XPDC serta Konsert Rakyat bersama Drama Band dan artis popular era 90-an.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan naga elektronik, kuda kepang, Wayang Kulit Jawa Selangor serta pelbagai persembahan seni dan budaya lain.

Menurut kenyataan itu, festival berkenaan turut menampilkan pameran interaktif daripada pelbagai agensi kerajaan dan organisasi berkaitan.

Antaranya Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Warisan Negara, Tourism Selangor, Kraftangan Selangor, Jabatan Pertanian, FELDA, Pos Malaysia dan JKKN.

"Festival ini mendapat sokongan 35 rakan strategik yang terdiri daripada agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, agensi swasta serta persatuan seni budaya dari seluruh Selangor.

"Selain itu, sebanyak 110 pengusaha turut mengambil bahagian dalam festival ini," menurut kenyataan itu.

Orang ramai juga digalakkan hadir dengan mengenakan pakaian tradisional atau klasik mengikut etnik masing-masing bagi menyemarakkan lagi suasana festival.

Langkah itu secara langsung menjadi tanda sokongan terhadap kepelbagaian warisan seni dan budaya yang menjadi tarikan utama FBS 2026.

Festival berkenaan dijangka menjadi platform untuk masyarakat mengenali, menghargai dan meraikan khazanah seni serta budaya yang terdapat di sembilan daerah di Selangor.

Maklumat lanjut mengenai FBS 2026 boleh diperoleh menerusi laman sesawang JKKN atau media sosial rasmi JKKN.