HULU TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Daerah Hulu Terengganu berjaya menangkap seekor gajah liar jantan yang berkeliaran di Kampung Kolam, Ajil di sini pada Khamis.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, tangkapan itu dibuat susulan aduan yang diterima daripada penduduk kampung berhubung kehadiran mamalia berkenaan pada hari yang sama.
Menurutnya, seramai enam kakitangan Perhilitan Hulu Terengganu dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi tangkapan.
"Pihak kami berjaya menangkap seekor gajah liar jantan dengan ukuran saiz tapak 15 inci. Proses mengikat dan menambat gajah berkenaan selesai kira-kira jam 5.30 petang.
"Hasil pemerhatian awal mendapati gajah liar berkenaan berada dalam keadaan sihat dan stabil," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, kejayaan tangkapan itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kerisauan serta ancaman keselamatan penduduk di Kampung Kolam, Ajil dan kawasan sekitarnya.
Jelasnya, pemantauan berterusan akan terus dijalankan di lokasi kejadian sehingga operasi pemindahan gajah tersebut dilaksanakan.
"Sepanjang tempoh berkenaan, kakitangan jabatan akan memberikan makanan seperti batang pisang pada sebelah pagi dan petang kepada gajah tersebut," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mendekati kawasan gajah tersebut ditambat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
"Kehadiran orang ramai dan suasana riuh boleh mendatangkan tekanan kepada haiwan berkenaan.
"Berilah ruang secukupnya kepada pihak Perhilitan untuk mengurus serta menjaga gajah ini dengan selamat," katanya.