Kaunselor perlu bertindak cepat tangani buli siber

Iklan
Peranan kaunselor sekolah perlu diperkasa bagi mengesan dan menangani kes buli siber dalam kalangan murid dengan lebih pantas sebelum berlarutan.

PUTRAJAYA – Peranan kaunselor sekolah perlu diperkasa bagi mengesan dan menangani kes buli siber dalam kalangan murid dengan lebih pantas sebelum berlarutan dan memberi kesan lebih besar kepada mangsa.

Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, golongan murid khususnya pada usia sekolah rendah hingga menengah rendah masih naif dan mungkin tidak mampu membezakan tindakan yang wajar apabila berdepan buli siber.

Iklan
Iklan

Menurut bekas Ketua Pengarah Pelajaran itu, sebarang petunjuk berlakunya buli siber perlu diberikan perhatian segera oleh pihak sekolah dan tidak seharusnya dibiarkan sehingga masalah menjadi lebih serius.

Iklan

“Peranan kaunselor di sekolah perlu ditingkatkan. Kaunselor perlu beri perhatian dan apabila mendapat petunjuk berlaku buli siber, cepat-cepat bertindak.

“Kalau kita tidak ambil langkah sekarang, ia akan berpanjangan dan bertambah apabila mereka sudah besar,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, pihak sekolah dan ibu bapa perlu memastikan sebarang tanda buli siber dalam kalangan murid dilaporkan segera kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mempunyai kepakaran menangani kes berkenaan.

“Kita tidak boleh diamkan saja dan biarkan tindakan dibuat. Mereka yang boleh ambil tindakan mempunyai alat dan kepakaran untuk menangani isu ini,” jelasnya.

Ujar Alimuddin, tindakan pihak berkuasa memerlukan maklumat daripada sekolah dan keluarga, justeru guru serta ibu bapa perlu memainkan peranan dengan melaporkan sebarang kejadian atau petunjuk buli siber.

Katanya, pendekatan itu penting kerana buli siber merupakan isu yang semakin kompleks dan memerlukan tindakan daripada pelbagai pihak, bukan sekolah sahaja.

Terdahulu, dapatan PISA 2025 menunjukkan buli siber menjadi antara isu yang perlu diberikan perhatian dalam persekitaran pembelajaran murid.

Pengarah Pendidikan dan Kemahiran Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Dr Andreas Schleicher berkata, kurang daripada lima peratus murid di Malaysia melaporkan pernah mengalami buli siber.

Katanya, walaupun peratusan itu kelihatan kecil, namun ia masih lebih tinggi berbanding purata antarabangsa dan lebih membimbangkan, buli siber menunjukkan hubungan negatif paling kuat dengan hasil pembelajaran murid.