WASHINGTON - Gangguan penghantaran bijirin, tanaman yang terancam akibat cuaca buruk serta kos bahan api dan baja yang tinggi dijangka mendorong kenaikan ketara harga makanan pada tahun depan, menurut Bank Dunia pada Rabu.
Harga makanan diramalkan meningkat kira-kira 10 peratus tahun ini berbanding 2025, diikuti kenaikan tambahan sebanyak tujuh peratus pada 2027, menurut institusi yang berpangkalan di Washington itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Harga tenaga dijangka meningkat dengan lebih ketara tahun ini, dengan Bank Dunia meramalkan kenaikan hampir satu pertiga berbanding 2025. Bagaimanapun, harga tenaga dijangka menurun pada 2027.
Kenaikan mendadak itu sebahagian besarnya berpunca daripada perang yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran, yang menyebabkan penghantaran komoditi melalui Selat Hormuz hampir terhenti sepenuhnya. Selepas beberapa bulan berlalu sejak konflik bermula, aktiviti perkapalan melalui laluan strategik itu masih berada di bawah paras sebelum perang.
Secara keseluruhan, Bank Dunia menjangkakan harga komoditi meningkat sebanyak 23 peratus tahun ini sebelum kembali menurun pada 2027.
"Unjuran ini mengandaikan tiada peningkatan besar dalam konflik yang menjejaskan bekalan komoditi global,” menurut Bank Dunia.
Bagaimanapun, institusi itu memberi amaran:"Harga tenaga boleh meningkat lebih tinggi sekiranya konflik di Asia Barat semakin meruncing dan kerosakan terhadap infrastruktur minyak Rusia berterusan.”
Bank Dunia turut memberi amaran bahawa harga tenaga yang lebih tinggi daripada jangkaan atau kesan fenomena cuaca El Nino yang lebih buruk boleh mencetuskan krisis makanan.
Krisis sedemikian boleh menyebabkan lebih ramai penduduk jatuh ke dalam kemiskinan tegar, seperti yang berlaku pada awal 2010-an.
Bank Dunia mentakrifkan kemiskinan tegar sebagai keadaan hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$3 sehari. Institusi itu menganggarkan kira-kira 811 juta penduduk di seluruh dunia kini tergolong dalam kategori itu. - Bernama