'Cukup-cukuplah guru!’ - UMNO sedia tempur PRU16

Iklan
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto Bernama

PENTAS Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Dewan Merdeka sekali lagi menjadi gelanggang percaturan politik tanah air apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan Ucapan Dasar Presiden.

Kali ini, ucapan itu membawa nada lebih berani, strategik dan sarat dengan isyarat politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Iklan
Iklan

Antara mesej paling menarik perhatian ialah penggunaan istilah ‘guru’ yang dilihat menyindir sikap sesetengah pemimpin yang enggan mendengar keluhan serta keresahan rakyat di peringkat akar umbi.

Ungkapan 'cukup-cukuplah guru!' bukan sekadar sindiran politik biasa, sebaliknya menjadi simbol kekecewaan terhadap pendekatan kepimpinan yang disifatkan tidak lagi sensitif dengan realiti semasa.

Iklan

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu

Mesej itu turut memperlihatkan UMNO tidak mahu lagi kekal selesa bertindak sebagai ‘penumpang’ atau sekadar parti pelengkap dalam percaturan politik negara.

Iklan

Sebaliknya, parti itu mula memposisikan dirinya sebagai pilihan utama yang bersedia menawarkan tadbir urus dan penyelesaian jauh lebih baik kepada rakyat.

Isu ekonomi, khususnya keluhan rakyat berkaitan percukaian, turut disentuh secara terus, menandakan UMNO mahu kembali menjuarai agenda sosioekonomi tempatan.

Pada masa sama, gaya penyampaian ucapan turut menyerap trend media sosial serta bahasa slanga Gen-Z seperti slay, flex dan W, sekali gus menyerlahkan ikhtiar UMNO memecah tembok kaku dengan generasi muda yang kini membentuk peratusan besar pengundi.

Kenyataan bahawa kesetiaan pengundi tidak lagi diwarisi pula menunjukkan kesedaran mendalam parti terhadap perubahan lanskap demografi tanah air.

Dalam konteks itu, strategi fleksibel berasaskan konteks tempatan dirangka kerana formula lama"one-size-fits-all" diakui tidak lagi relevan bagi menawan pelbagai negeri.

Desakan supaya PRU16 disegerakan turut memberi isyarat jelas bahawa UMNO bersiap sedia untuk turun ke gelanggang lebih awal.

Pengalaman di beberapa negeri seperti Johor, Melaka dan Sabah dijadikan kayu ukur terhadap keupayaan parti membina semula kekuatan pangkalan pengundi.

Pada masa sama, keresahan rakyat terhadap pergolakan politik berterusan atau"permanent political warfare" dimanfaatkan UMNO untuk menawarkan kestabilan.

Naratif yang dibawa menggesa supaya tumpuan dialihkan daripada polemik tuduh-menuduh kepada pencarian penyelesaian konkrit untuk rakyat.

Melalui gagasan ‘Rumah Bangsa’, parti itu cuba membina semula jambatan persaudaraan dan rekonsiliasi politik bagi mengelak perpecahan undi.

Namun, ujian sebenar UMNO pada PRU16 nanti adalah sejauh mana retorik dan semangat yang bergema di dewan dapat diterjemahkan kepada kerja lapangan di peringkat akar umbi.

Penjenamaan semula imej parti juga memerlukan barisan calon berkaliber, relevan serta mampu menyerap aspirasi golongan muda yang dahagakan perubahan.

Sekiranya gelombang perubahan itu dijana dengan tulus, UMNO berpeluang merebut semula keyakinan pengundi atas pagar di seluruh negara.

Apa yang pasti, pementasan PAU kali ini telah meletakkan batu asas baharu bagi pertempuran PRU16 yang dijangka berlangsung amat sengit.