IPOH - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa lebih bertanggungjawab dalam mengulas isu pemulihan kuota bahan api bersubsidi BUDI RON95 kerana ia melibatkan keputusan dasar kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, M Thulsi berkata, kenyataan Presiden UMNO yang menyifatkan pemulihan kuota itu sebagai ‘pusingan U’ kerana tekanan politik adalah tidak tepat serta mengelirukan.
Menurutnya, keputusan mengurangkan kuota bulanan daripada 300 liter kepada 200 liter bermula 1 April lalu dibuat susulan ketidaktentuan bekalan minyak global akibat konflik di Selat Hormuz.
"Langkah itu merupakan tindakan pengurusan permintaan bagi menjamin keselamatan tenaga negara, bukannya tanda kerajaan tidak konsisten.
"Kerajaan kemudiannya mengembalikan semula kuota kepada 300 liter bermula 1 September selepas mengambil kira tekanan kos sara hidup semasa yang memberi manfaat kepada lebih 16 juta pengguna," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP itu turut mempersoalkan pendirian Ahmad Zahid yang didakwa tidak membantah keputusan pengurangan kuota tersebut ketika ia dibincangkan di peringkat Kabinet sebelum ini.
"Jika beliau tidak bersetuju, perkara itu sepatutnya dibangkitkan dalam Kabinet dengan sokongan data, bukannya melalui kenyataan terbuka yang boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan," ujarnya.
Tambah beliau, sebagai anggota pentadbiran tertinggi negara, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu perlu mematuhi prinsip tanggungjawab bersama dan tidak menggunakan platform awam untuk menyerang kepimpinan kerajaan sendiri.
"Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada beliau benar-benar konsisten atau sekadar mengambil peluang politik selepas dasar itu diubah," katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Ahmad Zahid menjelaskan cadangan alternatif yang pernah dikemukakan berhubung dasar berkenaan serta asas pertimbangannya.
"Rakyat memerlukan kepimpinan yang serius dan berasaskan fakta, bukan retorik politik," katanya.