MA63: Perbincangan dengan semangat keterbukaan, cari titik persamaan - Fadillah

Iklan
Fadillah berkongsi hantaran di laman media sosial Facebook pada Jumaat. Foto Facebook Fadillah Yusof

KOTA KINABALU - Perbincangan mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu diteruskan berasaskan semangat keterbukaan, saling menghormati dan mencari titik persamaan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) berkata, perbezaan pandangan dalam sesetengah perkara adalah biasa dalam proses perundingan.

Iklan
Iklan

"Saya percaya pendekatan ini telah membolehkan kita mencapai beberapa kemajuan sebelum ini, dan kita harus meneruskan momentum tersebut,” katanya dalam hantaran di laman media sosial Facebook pada Jumaat.

Terdahulu, Fadillah menghadiri MTPMA63 secara dalam talian dari pejabat beliau di Menara PETRA, Putrajaya dengan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud.

Fadillah berkata, Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 telah bersidang sebanyak dua kali tahun ini iaitu pada 2 Mac dan 3 Ogos lepas bagi meneliti pelbagai perkara berkaitan MA63.

Iklan

Beliau berkata, dalam kedua-dua mesyuarat berkenaan, pelbagai perkara berkaitan MA63 telah diteliti secara bersama.

"Sebahagiannya dapat ditangani pada peringkat teknikal, manakala terdapat beberapa perkara masih memerlukan pertimbangan dan hala tuju MTPMA63, yang dibawa ke mesyuarat pada hari ini untuk diteliti bersama,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 akan terus menjadi platform utama bagi meneliti perkara teknikal dan perundangan.

"Sekiranya terdapat perkara yang belum dapat disepakati di peringkat teknikal, barulah dibawa ke MTPMA63 untuk pertimbangan bersama.

"Bagi perkara yang melibatkan dasar, kita akan memastikan proses pertimbangan pada peringkat Jemaah Menteri dilaksanakan sebagaimana sewajarnya.” katanya.

Fadillah turut merakamkan penghargaan kepada Anwar, Abang Johari dan Hajiji serta semua pihak yang terus memberikan komitmen dalam pelaksanaan MA63.

"Sempena Hari Malaysia ke-63 pada 16 September ini, semangat kebersamaan dan muafakat ini wajar terus menjadi asas kepada usaha kita memperkukuh hubungan antara Persekutuan, Sabah dan Sarawak,” katanya.- Bernama