Kolaborasi Agung perkukuh kerjasama tanpa korban identiti parti

Iklan
Kepimpinan UMNO dan BN menyifatkan, ucapan dasar Ahmad Zahid sebagai sangat berani, berasaskan realiti dan menyuarakan apa yang diinginkan oleh rakyat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Grand Collaboration atau Kolaborasi Agung yang diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai pendekatan realistik dalam menghadapi landskap politik semasa, selain menawarkan hala tuju baharu kepada rakyat.

Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyifatkan, gagasan itu sebagai langkah penting untuk memperkukuh kerjasama antara parti tanpa mengorbankan identiti masing-masing, sekali gus mengelakkan pertembungan yang boleh merugikan rakyat dan negara.

Iklan
Iklan

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan, ucapan dasar berkenaan sebagai sangat berani, berasaskan realiti dan menyuarakan apa yang diinginkan oleh rakyat.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berkata, lapan inisiatif di bawah gagasan yang diketengahkan Ahmad Zahid merupakan tawaran baharu berasaskan fakta, kajian dan penilaian untuk membolehkan rakyat menilai UMNO serta BN bersama rakan gabungan sebagai alternatif berkerajaan terbaik.

Iklan

"Hari ini rakyat tidak mahu lagi politik retorik, politik hanya berjanji, politik yang menyusahkan rakyat. Sebab itu, Barisan Nasional, UMNO mahu menawarkan yang terbaik, pilihan pada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Jumaat.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula berkata, konsep itu ialah satu pendekatan bagi mengekalkan identiti BN, sambil sedia merangkul kerjasama antara wilayah mahupun gagasan parti demi realiti politik hari ini.

Iklan

"Jadi, nampaknya kolaborasi itu merupakan konsep yang kita mengekalkan identiti BN ... kita sedia merangkul (berkolaborasi), antara wilayah, antara gagasan parti. Saya rasa ini antara realiti politik sekarang,” katanya.

Wee berkata dalam konteks Malaysia, realiti politik berkenaan dapat disaksikan dalam dua tiga pilihan raya lepas yang memperlihatkan trend berbeza-beza.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, cadangan pembentukan Kolaborasi Agung menerusi persefahaman politik atau Tafahum Siyasi antara gabungan parti bertujuan mengelakkan pertembungan politik yang merugikan ummah dan negara.

Beliau berkata, gagasan itu bukan satu bentuk penggabungan parti, sebaliknya titik temu persefahaman demi memelihara kestabilan politik serta merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ucapan dasar Presiden menawarkan pendekatan politik yang mengutamakan pembinaan negara bangsa dan masa depan seluruh rakyat tanpa terpengaruh dengan sentimen murahan atau hipokrasi politik.

Beliau berkata, meskipun UMNO terus memperjuangkan kepentingan Melayu dan Bumiputera, parti itu tidak pernah menafikan hakikat bahawa Malaysia dimiliki bersama oleh semua kaum termasuk masyarakat Cina, India, Kadazan, Dusun, Dayak termasuk rakyat Sabah serta Sarawak yang lain.

"Inilah yang ingin kita gerakkan kembali supaya jangan kita berbicara soal perpaduan tetapi lompong makna sebenarnya, seolah-olah kita menafikan tabii dan realiti negara kita yang tidak pernah mencairkan identiti kaum ataupun agama mana-mana pihak,” katanya.- Bernama