KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyindir pemimpin yang didakwa enggan mendengar keluhan dan keresahan dibangkitkan masyarakat.
Meskipun tidak menamakan pemimpin terbabit, Ahmad Zahid dalam nada sinis menggesa individu berkenaan untuk menghentikan segera tindakan yang 'tidak sihat' kepada pembangunan negara.
Timbalan Perdana Menteri itu turut memberi jolokan 'guru' kepada pemimpin terbabit, merujuk kepada 'meme' tular di media sosial yang digunakan orang ramai ketika ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan dirinya bukan mahu membakar api atau membangkitkan provokasi, sebaliknya ingin memastikan keresahan rakyat tidak terus dipandang remeh.
"Saya bukan mahu membakar api atau memprovokasikan sesuatu, tetapi kita tidak mahu menyemarakkan keresahan.
"Menimbulkan kegelisahan, apatah lagi kekeliruan yang tidak berkesudahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Tidak cuma itu, slanga Gen-Z terus dimainkan ketika ucapan Ahmad Zahid bagi menyeru anak-anak muda supaya menjadikan Rumah Bangsa sebagai tempat untuk berkarya.
Katanya lagi, ruang dan peluang dibuka seluas-luasnya untuk anak muda melakar kanvas perjuangan UMNO dengan idea baharu serta impian generasi berkenaan.
"Kalau anakanda ada idea yang 'slay', jangan simpan. 'Flex' kan biar kita tengok siapa yang benar-benar boleh bawa 'W' kepada UMNO. 'For real, for real'.
"Inilah bahasa mereka sekarang. Kepada Pemuda dan Puteri UMNO, dekati serta santunilah mereka insya-ALLAH mereka datang kepada kita," ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut.