159 pelajar, kakitangan sekolah alami keracunan makanan

Iklan
Hasil siasatan awal mendapati semua kes mengalami cirit-birit dan sakit perut, selain sebahagian turut mengadu sakit kepala, loya, muntah serta demam. Gambar hiasan

IPOH - Seramai 159 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah berasrama di Lenggong mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada hidangan yang dibekalkan sempena satu program pada Rabu.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, kesemua mangsa berusia antara 13 hingga 52 tahun itu dilaporkan mengalami gejala bermula jam 11.30 malam, 9 September hingga 1.40 petang keesokan harinya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati semua kes mengalami cirit-birit dan sakit perut, selain sebahagian turut mengadu sakit kepala, loya, muntah serta demam.

"Daripada jumlah itu, 125 orang mengalami sakit kepala, 89 orang loya, 31 muntah dan 15 demam.

Iklan

"Semua kes telah diperiksa serta menerima rawatan di sekolah berkenaan oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Lenggong,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, hanya 10 kes mendapatkan rawatan lanjut di Klinik Kesihatan Lenggong dan kesemua mangsa kini dilaporkan stabil tanpa sebarang kemasukan ke hospital.

Iklan

Menurutnya, sebanyak 34 sampel klinikal termasuk ujian kultur najis dan virologi telah diambil daripada pesakit, selain 14 sampel persekitaran serta satu sampel makanan untuk dianalisis di Makmal Kesihatan Awam Ipoh.

"Siasatan mendapati makanan yang disyaki menjadi punca kejadian disediakan oleh katerer luar yang ditempah oleh sebuah agensi bagi program di sekolah tersebut pada 9 September lalu,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas premis penyedia makanan itu mendapati tahap kebersihan berada pada penarafan 78.16 peratus.

"Sehubungan itu, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak telah mengarahkan penutupan premis berkenaan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Sivanesan berkata, pengusaha turut diarahkan melaksanakan kerja pembersihan dan kawalan makhluk perosak secara berkala selain diberikan pendidikan kesihatan.

"Buat masa ini, dewan makan sekolah akan beroperasi seperti biasa bagi memastikan penyediaan makanan kepada pelajar tidak terjejas," katanya.