MELAKA – Seorang bekas guru peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini pada Jumaat atas pertuduhan mendedahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun kepada kecederaan fizikal pada Disember tahun lalu.
Tertuduh, Nur Dalila Salleh, 25, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu mempunyai tanggungjawab menjaga kanak-kanak berkenaan didakwa mendedahkan mangsa kepada kecederaan fizikal semasa berada dalam pemeliharaannya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 1 tengah hari pada 12 Disember tahun lalu di Taman Belia Antarabangsa, dalam daerah Melaka Tengah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan, yang mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 selain syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Norfazlinda Alimad yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang lebih rendah.
Menurut beliau, jaminan bukan bertujuan menghukum tertuduh, sebaliknya bagi memastikan kehadirannya di mahkamah sepanjang prosiding kes.
Katanya, tertuduh menetap di Melaka, memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sejak awal siasatan dan tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.
“Anak guam saya turut memberi kerjasama kepada pihak berkuasa termasuk hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan ini.
“Beliau juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.
Norfazlinda turut memaklumkan bahawa tertuduh kini bekerja sebagai kakitangan pentadbiran di sebuah platform beli-belah dalam talian dengan pendapatan sekitar RM1,700 sebulan.
Menurutnya, Nur Dalila juga membantu ibu bapanya selain menanggung keperluan diri serta bayaran balik pinjaman pelajaran.
Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.