KUANTAN – Dua pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Cenderawasih Indah pada Mei dan Ogos lalu.
Tertuduh, Norlida Abdul Razak, 39, dan Zairifah Zainal Abidin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Hamri Thamri Mohamad @ Shaharudin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Norlida didakwa menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tujuh bulan dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan emosi di taska berkenaan kira-kira jam 4.30 petang pada 15 Mei lalu.
Sementara itu, Zairifah didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun lapan bulan di premis yang sama kira-kira jam 2.30 petang pada 11 Ogos lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Izzati Wan Mohamad Zahari, yang menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan supaya mereka tidak mengganggu mangsa dan saksi.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Mohd Rusnizam Abdullah, memohon agar jumlah jaminan dikurangkan.
Menurut beliau, Norlida hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,400 sebulan sebagai guru taska selain perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya yang uzur.
Katanya, Norlida juga tidak lagi bekerja di taska berkenaan dan kini menetap bersama keluarganya di Jerantut.
Mohd Rusnizam turut merayu agar jaminan terhadap Zairifah dikurangkan memandangkan wanita itu merupakan pemegang kad talasemia dan perlu menyara ibunya dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.
Selepas mempertimbangkan rayuan tersebut, Hamri Thamri membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan bahawa kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa atau mana-mana saksi yang terlibat dalam kes berkenaan.
Kes itu kemudian ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Oktober depan bagi tujuan serahan dokumen.
Sebelum ini, kes berkenaan mendapat perhatian ramai selepas rakaman video yang memaparkan dakwaan kekasaran terhadap kanak-kanak tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen.