SHAH ALAM - Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menggesa kerajaan supaya menjelaskan kedudukan undang-undang nikotin secara menyeluruh, termasuk hubungan antara Akta 852 dan Akta Racun 1952.
MCTC dalam kenyataan berkata, ia bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan klasifikasi, pengecualian atau kawalan nikotin dibuat melalui proses perundangan dan rundingan yang sah serta telus.
Menurutnya, perlindungan kanak-kanak dan golongan muda daripada ketagihan nikotin perlu terus diutamakan selaras dengan matlamat mencegah permulaan penggunaan produk merokok.
"Pada masa sama, penguatkuasaan Akta 852 perlu dilaksanakan secara berkesan dan konsisten di seluruh negara bagi menutup ruang percanggahan antara dasar kesihatan, percukaian, penguatkuasaan dan kawal selia produk nikotin.
"Selain itu, memperkukuh komitmen Malaysia terhadap Konvensyen Rangka Kerja WHO mengenai Kawalan Tembakau (WHO FCTC).
"Ia termasuk perlindungan dasar kesihatan awam daripada kepentingan komersial dan kepentingan lain yang bercanggah," ujarnya pada Jumaat.
Pada Mei lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan menteri kesihatan ketika itu, Dr Zaliha Mustafa, pada 2023 untuk mengecualikan nikotin cecair dan gel yang digunakan dalam rokok elektronik serta vape daripada Senarai Racun.
Mahkamah dilaporkan memutuskan keputusan itu tidak rasional dan dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.
Kerajaan kemudian menarik balik keseluruhan rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 18 Ogos.
Tambah MCTC, pihaknya melihat keputusan itu sebagai pengiktirafan penting terhadap prinsip bahawa keputusan kerajaan yang mempunyai kesan langsung terhadap kesihatan rakyat tidak boleh dibuat tanpa proses perundangan dan dasar yang kukuh.
Jelasnya, kepentingan ekonomi atau hasil kerajaan tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi kesihatan rakyat.
"Oleh itu, MCTC akan terus menjadi rakan kritikal kerajaan dan menegaskan bahawa masyarakat sivil tidak seharusnya hanya dilihat sebagai pihak yang mengkritik kerajaan.
"Masyarakat sivil juga bersedia mengiktiraf dan menyokong keputusan kerajaan yang betul, di samping terus memberikan teguran apabila dasar atau pelaksanaan boleh menjejaskan kesihatan rakyat.
"Dalam masa sama, kami akan terus memperkukuh kerjasama dengan organisasi anggota, profesional kesihatan, akademia, komuniti dan kerajaan dalam usaha mencapai Malaysia yang lebih bebas daripada ketagihan nikotin dan produk merokok," ujarnya.