KUALA LUMPUR - Usaha penyatuan ummah yang digerakkan didakwa semakin dicemburui oleh pihak lawan sehingga UMNO terpaksa membayar harga yang tinggi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelbagai bentuk intimidasi, fitnah dan tuduhan jahat dilemparkan dengan tujuan menakutkan, mengaibkan serta mencalar reputasi pimpinan, selain menguji kecekalan mereka.
"Perjuangan ini adalah sunnatullah yang penuh dengan ujian kerana pejuang sejati yang sabar akan kekal berdiri walau dibadai taufan.
"Apa yang berlaku mutakhir ini juga mengingatkan kita kepada kebobrokan manusia yang hanyut dengan kekuasaan sementara.
"Sehingga hilang pertimbangan, rakus menyalahgunakan sisa jawatan, menganiaya rakan yang sebelum ini mengangkat mereka ke puncak takhta," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Jumaat.
Asyraf Wajdi berkata, pihak terbabit bagaimanapun tersilap percaturan sekiranya menyangka tindakan yang bertujuan menakutkan dan mengaibkan pimpinan UMNO akan menyebabkan parti itu menjadi lemah.
"Mereka sangkakan dengan menganiaya dan memalukan kita, maka kita akan lemah. Sedangkan kita pejuang Melayu. Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah.
"Dicabar, kita bangkit! Ditekan, kita melompat tinggi! Dipukul, kita berdiri lebih keras melawan! Semakin diambil semakin membumbung, semakin dihimpit semakin melenting!
"Kalau layar sudah dikembang, jangan gentar ombak lautan, kalau sabar sudah tak terkekang, lagi ditekan, lagi kuat melawan!" laungnya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan seluruh anggota UMNO supaya tidak terlalu mendongak apabila berada di puncak kemenangan, sebaliknya kekal berpijak di bumi nyata dan mengutamakan amanah berkhidmat kepada rakyat.
Tambahnya, prestasi yang diraih menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan bukan sesuatu yang datang secara percuma, sebaliknya hasil perjuangan dan pengorbanan yang perlu dipertahankan.
"Kerana gelombang yang membawa kita ke atas, boleh juga menghempas kita ke bawah jika kita lupa diri, sombong dan leka.
"Ingatlah, kemenangan ini bukan lesen untuk kita mendabik dada, tetapi amanah berat untuk kita berkhidmat dengan penuh tawaduk dan keikhlasan jua," katanya lagi.