Prestasi pelajar Israel jatuh ke tahap terburuk dalam sejarah PISA

Iklan
Pelajar sekolah menengah Keshet menduduki peperiksaan matrikulasi Matematik (Bagrut) di Tel Aviv. Foto The Jurusalem Post

TEL AVIV - Pelajar Israel mencatat keputusan terburuk dalam sejarah penyertaan negara itu dalam Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) bagi ketiga-tiga bidang yang dinilai iaitu matematik, membaca dan sains.

Keputusan PISA 2025 yang diterbitkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) pada Selasa menunjukkan tiada peningkatan direkodkan dalam mana-mana tiga bidang berkenaan.

Iklan
Iklan

Berbanding penilaian PISA 2022, kedudukan pelajar Israel merosot lapan anak tangga dalam sains, tujuh bagi membaca dan enam dalam matematik.

Pegawai Kementerian Pendidikan Israel menyifatkan keputusan tersebut sebagai 'peristiwa malapetaka pada skala bersejarah'.

Iklan

Dalam bidang sains, Israel menduduki tangga ke-44 daripada 90 negara yang mengambil bahagian, jauh ketinggalan berbanding beberapa negara berprestasi tinggi termasuk China, Singapura, Taiwan, Jepun, Estonia dan Korea Selatan.

Prestasi dalam matematik pula lebih membimbangkan apabila Israel menduduki tangga ke-43 daripada 44 negara maju yang dibandingkan, dengan hanya Albania berada di kedudukan lebih rendah.

Iklan

Bagi kemahiran membaca, Israel berada di tangga ke-37.

Keputusan 2025 itu juga jauh lebih rendah berbanding pencapaian Israel dalam penilaian PISA pada 2018, 2015 dan 2012.

Prestasi matematik merosot

Berbanding 2015, peratusan pelajar Israel yang dikategorikan sebagai berprestasi rendah meningkat 14 mata peratusan dalam matematik dan membaca serta sembilan mata peratusan dalam sains.

Hanya lima peratus pelajar Israel mencapai tahap prestasi tertinggi, iaitu Tahap 5 atau 6 dalam matematik berbanding purata OECD sebanyak lapan peratus.

Lebih membimbangkan, hanya 54 peratus pelajar Israel mencapai sekurang-kurangnya Tahap 2 dalam matematik berbanding purata OECD sebanyak 65 peratus.

Dalam sains, hanya empat peratus pelajar Israel berada pada Tahap 5 atau 6 berbanding purata OECD tujuh peratus.

Kira-kira 60 peratus pula mencapai sekurang-kurangnya Tahap 2 dalam sains, jauh lebih rendah daripada purata OECD sebanyak 74 peratus.

Sebagai perbandingan, lebih 85 peratus pelajar di negara berprestasi tinggi seperti China, Singapura, Estonia, Jepun, Taiwan dan Korea Selatan mencapai sekurang-kurangnya tahap tersebut.

Kemahiran membaca turut lemah

Prestasi membaca turut menunjukkan trend sama apabila hanya lima peratus pelajar Israel mencapai Tahap 5 atau lebih tinggi berbanding purata OECD sebanyak enam peratus.

Kira-kira 59 peratus mencapai sekurang-kurangnya Tahap 2 dalam membaca, berbanding purata OECD sebanyak 69 peratus.

Pelajar Israel turut mencatat skor purata di bawah purata OECD dalam penyelesaian masalah menggunakan pengkomputeran.

OECD bagaimanapun menegaskan semua data Israel memenuhi piawaian kualiti PISA dan dianggap sesuai untuk dilaporkan.

PISA dilaksanakan setiap tiga tahun bagi menilai pengetahuan serta kemahiran pelajar berusia 15 tahun dalam sistem pendidikan di seluruh dunia.

Penilaian itu bukan sekadar menguji pengetahuan akademik, malah mengukur keupayaan pelajar menyelesaikan masalah kompleks, berfikir secara kritis dan menggunakan pengetahuan dalam situasi sebenar.

Israel mula mengambil bahagian dalam PISA pada 2002. - Agensi