Malaysia perlu segera bina Infrastruktur Psikologi Negara - PSIMA

Iklan
Malaysia perlu segera membangunkan Infrastruktur Psikologi Negara bagi memperkukuh daya tahan psikologi rakyat. Gambar hiasan (Gambar kecil: Shazli Ezzat)

PUTRAJAYA – Malaysia perlu segera membangunkan Infrastruktur Psikologi Negara bagi memperkukuh daya tahan psikologi rakyat, mengesan risiko lebih awal dan menyediakan intervensi sebelum seseorang mencapai tahap krisis.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Professor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, pendekatan menangani isu psikologi masyarakat tidak seharusnya hanya tertumpu kepada individu selepas mereka berada dalam keadaan krisis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Malaysia perlu beralih daripada paradigma ‘tunggu sehingga seseorang berada dalam krisis, kemudian kita rawat’ kepada usaha membina kekuatan psikologi, mengesan risiko lebih awal dan melakukan intervensi sebelum krisis berlaku.

“Sebanyak 1,114 kes bunuh diri direkodkan pada 2024 berbanding 1,087 kes pada 2023, manakala Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 menunjukkan hampir sejuta orang dewasa mengalami kemurungan.

Iklan

“Angka ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak boleh bergantung kepada pendekatan rawatan dan respons krisis semata-mata,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujar Shazli, peningkatan kes bunuh diri, kemurungan, tekanan kehidupan serta pelbagai insiden sensasi yang tular di media dan media sosial termasuk ledakan emosi, tindakan impulsif, agresiviti, konflik keterlaluan dan ketidakupayaan sesetengah individu mengurus tekanan secara adaptif memberikan isyarat sosial yang tidak sihat.

Iklan

Menurut beliau, keadaan itu tidak seharusnya dianggap sebagai kejadian terpencil, sebaliknya perlu menjadi ‘wake-up call’ nasional untuk menilai tahap kesejahteraan psikologi rakyat secara lebih serius.

Terdahulu Penaung Befrienders KL, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, peningkatan kes bunuh diri dan peningkatan dua kali ganda prevalens kemurungan dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas seharusnya menjadi peringatan kepada negara supaya mengambil usaha intervensi kesihatan mental dengan lebih serius.

Kenyataan itu dikeluarkan bersempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut pada 10 September 2026.

Tegas Shazli, masyarakat juga perlu memahami bahawa tingkah laku berisiko, tekanan emosi dan kesukaran daya tindak tidak bermaksud seseorang individu boleh terus dilabel atau didiagnosis mempunyai gangguan mental.

“Persoalan yang perlu kita tanyakan bukan hanya, ‘Berapa ramai rakyat Malaysia mempunyai masalah kesihatan mental?’

“Tetapi persoalan yang lebih mendasar ialah, sejauh mana rakyat Malaysia mempunyai kekuatan psikologi, regulasi emosi dan kemahiran daya tindak untuk menghadapi tekanan kehidupan yang semakin kompleks?’” katanya.

Beliau berkata, Infrastruktur Psikologi Negara yang dicadangkan PSIMA merangkumi ekosistem lebih menyeluruh termasuk promosi kesejahteraan psikologi, literasi psikologi, pembangunan daya tahan, kemahiran daya tindak, regulasi emosi serta pengesanan awal.

“Infrastruktur psikologi ialah satu ekosistem yang menghubungkan promosi kesejahteraan psikologi, literasi psikologi, pembangunan daya tahan, kemahiran daya tindak, regulasi emosi, pengesanan awal, penilaian dan intervensi psikologi, perkhidmatan profesional, penyelidikan dan data, standard kompetensi, etika serta pengawalseliaan profesion psikologi,” katanya.

Menurut Shazli, pendekatan itu perlu dilaksanakan secara sistematik di pelbagai peringkat kehidupan termasuk sekolah, universiti, tempat kerja, komuniti dan sistem penjagaan kesihatan primer.

Dalam pada itu, beliau berkata, psikologi tidak seharusnya hanya dilihat dalam konteks penyakit mental kerana aspek berkenaan diperlukan sebelum seseorang mengalami masalah kesihatan.

“Psikologi diperlukan sebelum seseorang sakit. Psikologi diperlukan untuk membina kanak-kanak yang berdaya tahan, pelajar yang mampu mengurus tekanan, pekerja yang mempunyai kesejahteraan psikologi, keluarga yang lebih berfungsi, pemimpin yang memahami tingkah laku manusia serta masyarakat yang mampu berhadapan dengan tekanan dan perubahan secara adaptif,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, PSIMA turut menekankan keperluan memperkukuh kerangka profesional bagi memastikan masyarakat menerima perkhidmatan psikologi daripada individu yang mempunyai kelayakan dan kompetensi sewajarnya.

Shazli berkata, kerangka itu perlu merangkumi aspek kelayakan, kompetensi, penggunaan gelaran ahli psikologi, pendaftaran, etika, amalan profesional dan akauntabiliti.

“Masyarakat juga perlu dilindungi daripada individu yang tidak berkelayakan, amalan tidak beretika dan pseudo-psikologi yang boleh mengambil kesempatan daripada peningkatan permintaan terhadap bantuan psikologi,” katanya.

Menurut beliau, pembangunan Infrastruktur Psikologi Negara tidak seharusnya dilihat sebagai agenda profesion psikologi semata-mata, sebaliknya perlu dianggap sebagai agenda pembangunan manusia dan negara.

“Jika kita benar-benar mahu sebuah masyarakat yang sejahtera, produktif, berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran masa hadapan, pembangunan psikologi rakyat perlu diberikan kedudukan yang sama serius dengan pembangunan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan infrastruktur fizikal.

“Kita telah lama membina infrastruktur fizikal untuk menggerakkan negara. Kini tiba masanya kita membina Infrastruktur Psikologi untuk menguatkan manusianya,” jelasnya.