PUTRAJAYA – Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mempersoalkan naratif yang mendakwa beliau pernah ‘menentang’ penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan (SPK).
Beliau berkata, dakwaan berkenaan tidak tepat kerana rekod menunjukkan cadangan penubuhan SPK telah dibincangkan dan digerakkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika beliau menjadi Menteri Kesihatan.
“Justeru, dari mana datangnya naratif bahawa saya sebelum ini menentang SPK dan kini telah berubah pendirian?” soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Ujar Dr Zaliha, pada awal Februari 2023, beliau telah menyatakan bahawa penubuhan SPK merupakan antara cadangan yang sedang dipertimbangkan dalam Kertas Putih Kesihatan yang ketika itu berada pada peringkat akhir rundingan bersama pemegang taruh.
Menurutnya, pada April 2023, cadangan berkaitan SPK dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan turut dibincangkan dalam pertemuannya bersama Hartal Doktor Kontrak dalam kerangka Kertas Putih Kesihatan.
Beliau berkata, penjelasan yang dibuat di Dewan Rakyat pada 15 Jun 2023 pula berkaitan batas kuasa sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan berdasarkan Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan meliputi urusan pelantikan, pengesahan jawatan, kenaikan pangkat, pertukaran dan tatatertib.
“Saya turut menjelaskan bahawa penubuhan sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dengan sendirinya tidak memberikan kuasa untuk mewujudkan jawatan baharu atau merangka sistem saraan termasuk menetapkan kadar emolumen yang lebih kompetitif,” jelas beliau.
Terdahulu, sebuah portal kesihatan melaporkan Dr Zaliha melakukan perubahan pendirian atau ‘pusingan U’ berhubung cadangan penubuhan SPK berdasarkan kenyataannya di Dewan Rakyat pada 15 Jun 2023.
Laporan itu antaranya memetik penjelasan Dr Zaliha mengenai fungsi dan bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan berdasarkan Perkara 144 Perlembagaan Persekutuan, termasuk batasan suruhanjaya berkenaan dalam mewujudkan jawatan baharu serta menentukan sistem saraan.
Sementara itu, dalam hantaran sama, Dr Zaliha berkata, beliau menerangkan bahawa penubuhan sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan yang baharu melibatkan proses rumit, termasuk keperluan pindaan Perlembagaan Persekutuan serta sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Itu adalah penjelasan mengenai struktur, bidang kuasa dan kekangan model yang ada pada ketika itu. Ia bukan penolakan mutlak terhadap usaha menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan,” tegasnya.
Ujarnya, rekod selepas penggulungan tersebut turut menunjukkan pendiriannya terhadap penubuhan SPK tidak berubah.
“Hanya sekitar tiga minggu selepas penggulungan tersebut, pada Julai 2023, saya menyatakan secara terbuka bahawa kerajaan tetap akan menubuhkan SPK dan KKM sedang meneliti model terbaik serta paling sesuai untuk dilaksanakan di negara ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan dakwaan bahawa dirinya sebelum ini menentang SPK sebelum mengubah pendirian.
Dr Zaliha turut melahirkan kekecewaan terhadap laporan portal itu yang didakwanya tidak mengambil kira perkembangan dan pendirian tersebut, sedangkan sebahagiannya pernah dilaporkan sendiri oleh mereka.
“Mereka mempunyai rekodnya. Mereka pernah melaporkannya,” katanya.
Menurut beliau, satu petikan daripada penggulungannya di Parlimen pada Jun 2023 dipilih dan dibingkaikan seolah-olah ia merupakan penolakannya terhadap SPK secara keseluruhan.
“Media mempunyai hak untuk mengkritik saya atau mana-mana pemimpin. Saya menghormati kebebasan itu, namun kebebasan media turut datang dengan tanggungjawab untuk melaporkan secara tepat, adil dan dengan konteks yang mencukupi,” katanya.
Beliau berkata, mengambil satu petikan daripada ucapan Parlimen, memisahkannya daripada konteks sebenar dan kemudian membina naratif seolah-olah berlaku perubahan pendirian tidak mencerminkan standard kewartawanan yang sewajarnya.
“Saya tidak mempunyai masalah untuk dipersoalkan. Saya juga tidak keberatan untuk dikritik tetapi biarlah kritikan itu berasaskan rekod yang lengkap, bukannya naratif yang dibina daripada petikan terpilih,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Zaliha menegaskan pendiriannya mengenai kebajikan petugas kesihatan kekal sama sejak diberikan amanah sebagai Menteri Kesihatan sehingga kini.
Katanya, sistem perkhidmatan kesihatan negara perlu diperbaiki dan setiap mekanisme reformasi, termasuk SPK, perlu dibentuk dengan kuasa, struktur dan fungsi yang benar-benar mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi warga kesihatan.
“Ia perlu disegerakan. Itulah pendirian saya dahulu. Dan itulah pendirian saya hari ini,” katanya.