KUALA LUMPUR - Situasi jerebu di negara ini menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila hanya empat kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat setakat jam 6 pagi Jumaat.
Berdasarkan kemas kini portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Samarahan dengan IPU 179, diikuti Sarikei (174), Sri Aman (160) dan Sibu (154).
Iklan
Iklan
Sementara itu, lima lagi lokasi di Sarawak merekodkan bacaan IPU sederhana iaitu Miri, Bintulu, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Kapit dan Limbang.
Di peringkat nasional, sebanyak 50 kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana, menunjukkan kualiti udara kebanyakannya berada pada tahap yang masih boleh diterima walaupun kesan jerebu masih dirasai di beberapa kawasan.
Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 dianggap berbahaya.
Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar sekiranya berada di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat. - Awani