KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung selepas rumah dua tingkat yang didiaminya di kawasan Pasar Gok Kapor dekat Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini terbakar malam Khamis.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II, Ridzuan Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.43 malam.
Menurut beliau, setibanya di lokasi, didapati benar berlaku kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal.
"Kebakaran menyebabkan kira-kira 95 peratus struktur rumah berkenaan musnah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Ridzuan memberitahu, ketika operasi pemadaman dijalankan, pihaknya menerima maklumat terdapat seorang mangsa di dalam rumah terbabit.
Ujarnya, lelaki berusia 66 tahun ditemukan telah meninggal dunia di dalam bilik air.
Beliau memberitahu, operasi pemadaman menggunakan dua aliran pam jentera dengan empat pancutan.
"Api berjaya dikawal pada jam 9.24 malam," katanya.
Menurut beliau, operasi berkenaan membabitkan 35 anggota termasuk empat Pegawai Bomba Kanan II, 23 Pegawai Bomba, seorang Pegawai Bomba Bantuan dan tujuh anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pengkalan Chepa.
Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
Sementara itu, saksi yang membuat panggilan kecemasan, On Peng Lun, 33, berkata, dia bersama saudara mangsa ketika kejadian sebelum mereka menghubungi bomba dan bergegas ke lokasi.
Katanya, mangsa dipercayai berseorangan ketika kejadian dan mungkin tidak sempat menyelamatkan diri selepas api marak dengan cepat.