KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim susulan dakwaan beliau dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi bagi menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pertemuan yang bermula kira-kira jam 4 petang itu berlangsung di tengah-tengah kehangatan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.
Iklan
Iklan
Difahamkan pertemuan itu turut dihadiri kesemua lima pemimpin tertinggi UMNO termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan ketiga-tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Bagaimanapun cubaan pihak media untuk mendapatkan ulasan lanjut pemimpin parti berhubung pertemuan tersebut tidak berjaya apabila masing-masing memilih untuk mengunci mulut.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ketika sidang akhbar tengah hari pada Khamis memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ismail susulan kontroversi berkenaan.
Ismail pada Rabu menjelaskan bahawa Surat Cara Proklamasi yang tular menerusi kenyataan media sebelum ini telah ditandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu berkata, beliau telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.