SHAH ALAM - Kerjasama dan perkongsian maklumat risikan antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi faktor kejayaan operasi menumpaskan sindiket palsu dokumen tukar hak milik kenderaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, kerjasama sebegini antara faktor kejayaan sesebuah operasi dan harus dicontohi setiap agensi.
"Saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama baik serta komitmen yang diberikan oleh pihak JPJ dalam perlaksanaan operasi tersebut.
"Kerjasama dan perkongsian maklumat risikan dan operasi sebegini antara faktor kejayaan sesebuah operasi," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sebelum itu, SPRM dengan kerjasama JPJ berjaya melumpuhkan sindiket pemalsuan dokumen hak milik kenderaan yang disyaki turut merasuah pegawai-pegawai sebuah agensi penguat kuasa di Perak bagi menukar status hak milik.
Kejayaan membongkar kegiatan sindiket ini adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara SPRM dan JPJ sejak enam bulan lalu.
Susulan itu, pada Selasa, SPRM Perak telah berjaya menahan 11 individu melibatkan enam penjawat awam dan lima orang awam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak.
Kesemua suspek yang terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an ditahan reman selama enam hari sehingga 14 September.
Sinar Harian dimaklumkan, siasatan awal mendapati enam penjawat awam berkenaan telah bersubahat melakukan perbuatan tersebut bersama lima orang awam yang berperanan sebagai orang tengah sekitar tahun 2025.
Kesemua suspek dipercayai telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu dalam urusan tukar hak milik kenderaan melibatkan 16 nombor pendaftaran klasik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.