'Pelajar perlu tahu apa yang salah, apa yang betul sebelum bekerja'

Iklan
Suzilasahibatul dan Nurhayati bersama pelajar pada Program Jelajah Antirasuah IPMA 2026 di TVET MARA Pekan pada Khamis.

PEKAN - Pelajar perlu diberi pendedahan mengenai integriti sejak di institusi pendidikan supaya mereka mengetahui perkara yang betul dan salah sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Pengarah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA Pekan, Dr Suzilasahibatul Akhmar Ahmad berkata, kesedaran itu penting kerana golongan berkenaan merupakan pelapis yang bakal memasuki alam pekerjaan.

Iklan
Iklan

Tegasnya, perkara itu turut menjadi antara tujuan Program Jelajah Antirasuah Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang dianjurkan bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Rasuah Busters.

"Budak-budak (pelajar) ini bila masuk alam pekerjaan nanti, mereka tak tahu dan sedar bahawa benda [amalan rasuah atau kesalahan integriti] itu adalah salah.

Iklan

“Jadi, menerusi program hari ini, sekurang-kurangnya kita bagi tahu benda salah dan betul,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Program Jelajah Antirasuah IPMA 2026 di TVET MARA Pekan pada Khamis.

Suzilasahibatul

Iklan

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.

Lebih 700 pelajar TVET MARA Pekan daripada pelbagai bidang hadir memeriahkan program tersebut.

Setiap sesi menampilkan pengisian ceramah, perbincangan interaktif dan perkongsian pengalaman berkaitan isu integriti serta penolakan rasuah dalam kehidupan seharian dan dunia pekerjaan.

Mengulas lanjut, Dr Suzilasahibatul memberitahu, pelaksanaan program berkaitan integriti di institusi berkenaan melibatkan kakitangan dan pelajar serta menjadi sebahagian daripada petunjuk prestasi utama (KPI).

Tambahnya, pendedahan berterusan amat diperlukan kerana kesedaran mengenai integriti tidak seharusnya diberikan secara sekali sahaja, sebaliknya mesti diterapkan secara berkala.

“Memang wajib bagi kami di setiap institusi untuk melaksanakan program integriti merangkumi pelajar dan juga kakitangan.

“Bagi pelajar, program sebegini memang tak pernah lepas. Dalam satu tahun itu paling-paling sikit pun dua kali kita anjurkan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Suzilasahibatul berkata, integriti juga tidak seharusnya dilihat hanya daripada sudut rasuah, sebaliknya perlu diterapkan dalam cara seseorang melaksanakan pekerjaan.

Sementara itu, pelajar Diploma Automotif Komersial, Muhd Danish Yazid, 20, berkata, pendedahan

menerusi program berkenaan memberi pengetahuan tambahan mengenai kepentingan integriti sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Menurutnya, pengisian yang disampaikan memberi gambaran lebih jelas mengenai etika kerja yang perlu difahami ketika berada dalam industri.

“Pendedahan ini memberi panduan kepada saya untuk memahami etika kerja sebenar apabila berada di alam industri nanti.

"Saya rasa ilmu integriti ini penting supaya kemahiran yang dipelajari dapat digunakan dengan cara yang betul,” katanya.

Bagi pelajar Diploma Kompetensi Elektrik (DCS), Nik Nur Huwaida Abd Rashid, 20, ceramah yang disampaikan Rasuah Busters memberi kesedaran mengenai kepentingan berhati-hati terhadap perkara yang boleh menjejaskan integriti.

“Daripada ceramah ini, saya lebih sedar bahawa kita perlu berhati-hati dan jangan ambil mudah perkara kecil kerana ia juga boleh berkaitan dengan integriti.

Saya juga boleh mengingatkan rakan-rakan supaya sama-sama menjaga integriti dan elak memberi dan menerima rasuah, ” ujarnya.

Senada dengan itu, pelajar Sijil Seni Bina, Nur Zakirah Zabri, 18, memberitahu penerangan mengenai isu rasuah menyentuh dari pelbagai sudut termasuk agama, undang-undang dan sosial.

Ujarnya, ini memberikan pemahaman lebih luas mengenai kepentingan kejujuran dalam menjalankan sesuatu anamah atau tugas.

“Bila kita faham isu rasuah daripada beberapa sudut, kita dapat lihat kenapa kejujuran dan integriti itu penting. Bagi saya, perkara ini perlu difahami sejak masih belajar,” katanya.

Pelajar Sijil Baik Pulih Badan Kenderaan, Ku Muhammad Rusydi Azib Ku Rosman, 19, pula berkata, pendedahan tersebut memberi kesedaran mengenai kepentingan membentuk jati diri dan pegangan integriti dalam diri.

“Bagi saya, bukan kemahiran sahaja yang penting. Kita juga perlu ada pegangan dan nilai yang baik supaya apabila bekerja nanti, kita dapat menjalankan tugas dengan cara yang betul,” katanya.

Pelajar TVET MARA Pekan berikrar bebas rasuah