BACHOK - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bercadang mengadakan ujian urin secara rambang terhadap juruterbang dan kru penerbangan sebulan sekali bagi memastikan sektor penerbangan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, cadangan itu antara perkara yang sedang dibincangkan bersama Malaysia Aviation Group (MAG) menerusi kerjasama strategik bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja bebas dadah.
Menurut beliau, kerjasama berkenaan dijangka dimuktamadkan menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara AADK dan MAG yang disasarkan ditandatangani pada Oktober ini.
"Antara yang kita bincangkan ialah program pencegahan dan juga ujian urin. Walaupun pihak MAG mempunyai hospital, klinik panel serta doktor terlatih untuk menjalankan ujian urin, kita merasakan ujian secara rambang atau spot check perlu dibuat.
"Bukan sahaja dalam kalangan juruterbang, tetapi juga kru penerbangan," katanya pada sidang media, Khamis.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Strategik ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Bachok bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan.
Ruslin berkata, kekerapan ujian itu boleh ditingkatkan sekiranya terdapat keperluan atau kes tertentu, namun pemeriksaan secara rambang sebulan sekali dilihat sebagai cadangan yang sesuai.
"Kerjasama kita sebenarnya sudah dibuat sebelum ini, tetapi secara berkala dan mungkin kali ini kita akan kerapkan sedikit.
"Cadangannya antaranya sebulan sekali dan kita boleh buat sebulan sekali, tidak ada masalah. Sekiranya ada keperluan untuk kes tertentu, kita boleh pendekkan lagi tempoh," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ruslin berkata, saringan urin terhadap lebih 1,000 juruterbang yang dijalankan pihak MAG dijangka selesai pada 15 September ini.
Katanya, berdasarkan maklumat terkini yang diterima, semua keputusan saringan yang dijalankan setakat ini adalah negatif.
"Pihak MAG memaklumkan bahawa ujian saringan ini mungkin akan berakhir pada 15 September dan mewajibkan kesemua 1,000 lebih pilot menjalani ujian.
"Laporan yang dimaklumkan kepada saya sebelum ini masih lagi kesemuanya negatif," katanya.