Keinsafan, ilmu mampu ubah mereka yang tersilap langkah - Sultan Selangor

Iklan
Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) berkenan menerima buku daripada penulis Dr Malik Yatam (kiri) pada Majlis Pelancaran Buku ‘Ph.D Dari Penjara’ di Pustaka Raja Tun Uda. Foto Bernama

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, seseorang yang pernah tersilap langkah masih mampu mengubah kehidupannya melalui keinsafan, ilmu dan kesungguhan.

Sultan Selangor bertitah, perkara tersebut dibuktikan menerusi usaha Dr Malik Yatam, seorang pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pertama yang berjaya menamatkan pengajian ketika menjalani hukuman di penjara.

Iklan
Iklan

"Perkembangan positif yang ditunjukkan oleh Dr Malik hari ini meyakinkan beta bahawa peluang kedua yang diberikan telah dimanfaatkan dengan baik,” titah baginda bagi melancarkan buku PhD Dari Penjara karya Malik Yatam di Pustaka Raja Tun Uda di sini pada Khamis.

Turut berangkat pada majlis pelancaran naskah itu ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Iklan

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Presiden/Naib Canselor Open University Malaysia (OUM), Profesor Datuk Dr Ahmad Izanee Awang dan penulis buku PhD dari Penjara, Malik.

Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan titah pada Majlis Pelancaran Buku ‘Ph.D Dari Penjara’ yang dihasilkan oleh Dr Malik Yatam di Pustaka Raja Tun Uda. Foto Bernama

Iklan

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa syukur dan sukacita atas kejayaan Malik dalam menerbitkan buku yang merakamkan perjalanan hidupnya sebelum, semasa dan selepas menjalani hukuman di penjara.

"Beta berharap buku ini bukan sekadar menjadi catatan pengalaman peribadi, tetapi turut menjadi teladan dan sumber inspirasi kepada semua, khususnya mereka yang sedang berusaha untuk bangkit serta membina semula kehidupan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menzahirkan rasa syukur pada pertemuan baginda dengan Malik sebelum ini, telah mendapat liputan yang baik dan memberi inspirasi kepada rakyat.

"Beta mendoakan semoga Dr Malik dan keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat serta dipermudah segala urusan. Sentiasalah merendah diri dan berpijak di bumi yang nyata.

"Pesan beta, jagalah pekerti, peliharalah nama baik diri dan keluarga serta terus berusaha memajukan diri. Jangan sesekali tenggelam dalam kemasyhuran sementara sehingga menjadi alpa, lupa diri atau sombong,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menasihati Malik agar tidak mudah menerima sebarang tawaran yang boleh memesongkan matlamat kehidupan, termasuk menceburi bidang politik dan lebih menumpukan kepada usaha memartabatkan ilmu, keluarga serta khidmat kepada masyarakat.

"Beta berharap penerbitan buku ini menjadi permulaan kepada lembaran kehidupan yang lebih baik dan bermakna. Buktikanlah bahawa pengampunan serta peluang kedua yang diberikan telah dimanfaatkan dengan penuh tanggungjawab,” titah baginda.

Pada majlis itu, Malik turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai"Banduan Pertama Malaysia Meraih Ijazah PhD dari Penjara” manakala OUM mendapat anugerah"Universiti Pertama Melahirkan Graduan Ijazah Phd dari Penjara.”

Sebelum ini, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Malik pada Februari lepas dan pertemuan seumpama itu, kali pertama diadakan membabitkan Sultan Sharafuddin bersama dengan bekas banduan yang mendapat pengampunan sempena Hari Keputeraan baginda pada 2024.

Selepas 24 tahun menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (LTS) iaitu hukuman yang tidak ada tarikh bebas, tidak dijatuhkan hukuman mati kerana semasa kesalahan dilakukan banduan berkenaan berumur di bawah 18 tahun, akhirnya, Malik, 39, dibebaskan pada 11 Dis 2024.

Menjalani hukuman sejak 2001 pada usia 14 tahun, Malik berjaya memperoleh PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada OUM, hasil usaha melanjutkan pelajaran semasa menjalani hukuman di Penjara Kajang.- Bernama