IPOH - Usaha menaik taraf fasiliti kesihatan sedia ada menjadi keutamaan Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi memastikan perkhidmatan lebih selesa dan berkualiti kepada rakyat.
Pengarahnya, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata, tumpuan ketika ini lebih menjurus kepada pembaikan kemudahan lama termasuk hospital yang telah berusia di negeri ini.
Menurutnya, Perak menempatkan antara hospital tertua di Malaysia iaitu di Taiping yang memerlukan perhatian dari segi penyelenggaraan dan peningkatan fasiliti.
"Banyak fasiliti di Perak memerlukan pembaikan dan ini menjadi fokus utama dalam perancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan seterusnya.
"Kita sudah ada pelan tindakan atau blueprint, namun pelaksanaannya juga bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan dan keperluan sumber manusia dalam memastikan sistem kesihatan dapat berfungsi secara optimum," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Kebangsaan dan Kongres Saintifik 2026 di sini pada Khamis.
Turut hadir, Presiden MMA, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo dan Pengerusi MMA Perak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur konvensyen berkenaan, Dr Monesh Pillai.
Sementara itu, Dr Feisul Idzwan berkata, pihaknya telah mengatur kerjasama dengan sebuah syarikat bagi menambah kapasiti parkir di tiga hospital utama iaitu Hospital Ipoh, Hospital Taiping dan Hospital Seri Manjung.
Katanya, ketiga-tiga hospital berkenaan berada di kawasan bandar dan berdepan kekangan ruang atau ‘landlocked’.
"Penyelesaian yang sedang diatur ialah pembinaan parkir bertingkat mekanikal dan kita jangka ia mula beroperasi pada suku pertama 2027.
"Namun ia hanya penyelesaian sementara kerana kekangan tanah yang terhad," katanya.
Sementara itu, Konvensyen MMA berkenaan menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta, diadakan selama lima hari merangkumi bengkel Basic Life Support, Persidangan Saintifik, mesyuarat agung tahunan, selain majlis makan malam gala, sesi jaringan serta aktiviti sampingan seperti golf dan pickleball.
Tema 'Thriving in Practice: Resilience, Research & Renewal' dipilih bertepatan dengan keperluan semasa profesion perubatan.
Dr Monesh berkata, penganjuran itu membuka peluang memperkenalkan Ipoh sebagai bandar yang mempunyai kemudahan dan keupayaan menganjurkan acara berskala besar tanpa mengabaikan keunikan warisan serta tarikan tempatan.
Katanya, negara kini berdepan kekurangan hampir 11,000 pakar perubatan dan kekosongan jawatan jururawat sekitar 18 peratus, manakala nisbah doktor kepada penduduk di Perak masih di bawah purata kebangsaan.
"Keadaan ini memberi kesan kepada perkhidmatan di klinik kerajaan, hospital daerah, jabatan pakar dan sektor swasta.
"Justeru, forum tenaga kerja kesihatan yang menghimpunkan wakil kerajaan, profesion perubatan dan sektor swasta penting bagi meneliti cabaran serta mencari ruang kerjasama," katanya.