KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah dan pecah amanah membabitkan bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral (B) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, dijadualkan bermula pada 26 Julai tahun hadapan.
Hakim, Rosli Ahmad menetapkan perbicaraan berlangsung selama 15 hari, iaitu pada 26 hingga 29 Julai, 9 hingga 12 Ogos, 13 hingga 15 September serta 27 hingga 30 September 2027.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip berkata, pihak pendakwaan sudah menyerahkan keseluruhan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan selepas melengkapkan penyerahan Jilid Kelima, hari ini.
"Pada hari ini, dokumen sudah pun lengkap diserahkan kepada pihak pembelaan.
"Secara keseluruhannya, terdapat lima jilid dokumen," katanya.
Sementara itu, peguam, Abdul Aziz Hamzah yang mewakili Mohd Nizam, 60, mengesahkan penerimaan dokumen pendakwaan Jilid Kelima berkenaan.
Beliau kemudiannya memaklumkan pihak pembelaan akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Bagaimanapun, beliau berkata, pembelaan belum memperincikan representasi berkenaan.
Selepas mendengar perkara itu, Rosli menetapkan 28 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi perkembangan representasi berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Mohd Nizam sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif TKAT, didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan bagi diri sendiri berjumlah RM267,481.90 dan RM285,000.
Dia didakwa melantik lima syarikat untuk menjalankan kerja pembekalan kain pelikat, kain batik, ‘multifunctional folding pliers’, beg galas dan tuala mandi untuk bungkusan barang hari raya bagi tahun 2025 kepada TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah, di sini pada 24 Jun 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa ketika menjawat jawatan sama, diamanahkan wang berjumlah RM3 juta dalam akaun bank milik TKAT, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta tersebut.
Dia dituduh menyalahgunakannya dengan membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT di lokasi sama pada 4 Oktober 2024.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Bagi pertuduhan keempat, tertuduh selaku PAT ATM didakwa menerima wang RM200,000 untuk diri sendiri tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat berusia 57 tahun, yang diketahui mungkin mempunyai kena mengena dalam urusan yang akan dijalankan oleh tertuduh.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah, di sini pada Mac 2025.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.