KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Khamis berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada dua hakim di Istana Negara di sini.
Istiadat yang berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil Istana Negara itu dimulakan dengan pengurniaan kepada Hakim Mahkamah Rayuan, Alice Loke Yee Ching diikuti Hakim Mahkamah Tinggi, Elaine Yap Chin Gaik.
Istiadat itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.
Alice Loke, 64, dilantik sebagai Peguam Kanan Persekutuan pada 2013 dan memegang jawatan itu hingga 2018, sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 10 Julai 2020.
Beliau dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Jan 2023 sebelum dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Kuasa-Kuasa Khas) pada 18 Ogos 2025.
Sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Alice Loke pernah mengendalikan permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung titah adendum yang didakwa membenarkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Antara kes dikendalikan Alice Loke ketika berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan ialah kes admiralti di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi merampas kapal Equanimity yang didakwa dibina menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kes tuntutan kaum Sulu serta tuntutan difailkan terhadap Kerajaan Malaysia berhubung kes kehilangan pesawat MH 370.
Sementara itu, Elaine Yap, 53, yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Sydney dan Diploma dalam Timbang Tara Antarabangsa daripada Chartered Institute of Arbitrators, dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Ogos 2024 sebelum memegang jawatan sama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Nov 2025.- Bernama