KUALA LUMPUR - Wanita UMNO menegaskan jasa dan sumbangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada parti serta negara tidak pernah dilupakan.
Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, perubahan politik tidak seharusnya menyebabkan seseorang itu melupakan pemimpin terdahulu yang telah mencurahkan sebahagian besar kehidupan mereka kepada UMNO dan negara.
"Dan Wanita UMNO juga tidak melupakan jasa Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita tidak perlu memadam sejarah untuk membina masa depan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.
Hadir sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki.
Menurut beliau, sumbangan Najib dalam pembangunan negara, transformasi ekonomi, pembangunan infrastruktur, bantuan kepada rakyat serta perjuangan UMNO merupakan sebahagian daripada perjalanan negara yang tidak boleh dinafikan.
Tambah Noraini, pihaknya bagaimanapun menghormati institusi dan proses perundangan berhubung perkara yang sedang melalui proses undang-undang.
"Tetapi menghormati proses undang-undang tidak menghalang kita daripada mempunyai nilai kemanusiaan.
"Wanita UMNO tahu mengenang jasa," ujarnya lagi.
Beliau turut menitipkan doa kepada Najib dan keluarganya agar diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi setiap ujian.
"Kepada Datuk Seri Najib dan keluarga, Wanita UMNO mendoakan diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi setiap ujian.
"Kita terus berdoa agar pintu keadilan dan ihsan dibuka, supaya beliau dapat kembali ke pangkuan keluarga dan bersama-sama meneruskan perjuangan,” katanya.
Pada masa sama, Noraini berkata, Wanita UMNO menzahirkan kesetiaan dalam perjuangan parti dengan teguh bersama dengan kepimpinan Ahmad Zahid.
"Memimpin sebuah parti ketika berada di puncak adalah satu tanggungjawab, tetapi memimpin ketika parti diuji, ketika keyakinan perlu dibina semula, ketika keputusan-keputusan yang sukar perlu dibuat. Itu menuntut ketahanan yang berbeza.
"Kepada Presiden, Wanita UMNO merakamkan penghargaan kerana terus memimpin parti melalui landskap politik yang begitu kompleks," katanya.