UMNO tidak boleh hidup dengan tongkat orang lain: Realisme strategik Mohamad Hasan

Iklan
Mohamad Hasan berkata hayat UMNO tidak boleh disandarkan pada perhitungan atau kekuatan orang lain.

ANTARA mesej paling penting dalam ucapan Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 ialah peringatan yang cukup jelas, iaitu UMNO tidak boleh menggantungkan hayat politiknya kepada kekuatan parti lain.

Mohamad menyebut secara terus bahawa UMNO “tidak boleh bergantung kepada sesiapa”, tidak kepada PH, PN, Pas mahupun DAP. Hayat UMNO, katanya, tidak boleh disandarkan pada perhitungan atau kekuatan orang lain.

Iklan
Iklan

Parti itu mesti berdikari, membangunkan kekuatannya sendiri dan memahami bahawa pergantungan mungkin memberikan keuntungan jangka pendek tetapi boleh menjadi kerugian strategik dalam jangka panjang.

Pendirian ini bukan bermaksud menolak kerjasama politik. Sebaliknya, ucapan Mohamad memperlihatkan realisme strategik, iaitu bekerjasama apabila keadaan memerlukan, tetapi jangan sampai kekuatan rakan menjadi pengganti kepada kekuatan sendiri.

Iklan

Beberapa data penyelidikan memberikan asas kuat kepada pandangan ini. Kajian Datuk Dr Marzuki Mohamad dan Khairul Syakirin Zulkifli, “Why Perikatan Nasional May Win in Selangor”, ISEAS Perspective No. 50/2023, merupakan antara bukti paling menarik.

Kajian asal Institut Masa Depan Malaysia dijalankan secara bersemuka dari 1 Mac hingga 20 April 2023, melibatkan 1,200 responden merentas 39 DUN majoriti Melayu di Selangor.

Iklan

Analisis ISEAS memberi tumpuan khusus kepada 850 responden Melayu. Sampelnya turut mengambil kira umur, etnik, jantina dan jenis lokaliti.

Para penyelidik lalu menyimpulkan bahawa tidak terdapat 'vote transferability' yang kuat antara PH dengan pengundi Melayu BN walaupun kedua-duanya telah menjadi rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Inilah asas empirikal kepada satu hakikat politik yang kadang-kadang sering dilupakan, iaitu pemimpin parti boleh bekerjasama, tetapi pengundi tidak boleh dipindahkan seperti saham syarikat.

Malah, penyelidikan Dr Ong Kian Ming bertajuk “Scrutinizing the DAP’s Success in the 2023 Malaysian State Elections” yang diterbitkan oleh ISEAS pada 2024 menggunakan data terperinci pusat dan saluran mengundi bagi 47 kerusi yang ditandingi oleh DAP dalam PRN 2023 memberikan gambaran tambahan.

Kajian itu menganggarkan bahawa walaupun DAP memperoleh sedikit peningkatan undi Melayu apabila bekerjasama dengan UMNO, empat daripada setiap lima pengundi Melayu yang sebelumnya menyokong BN di kerusi-kerusi berkenaan beralih kepada PN, bukannya kepada PH.

Dapatan itu juga menunjukkan pemindahan undi UMNO kepada rakan lebih berkesan dalam kalangan pengundi lebih tua berbanding generasi muda.

Maka Mohamad mempunyai alasan kukuh apabila menegaskan bahawa kerjasama politik tidak boleh menggantikan proses membina semula akar umbi UMNO.

Sejarah pasca-2018 juga menguatkan hujah tersebut.

UMNO menyertai kerajaan PN pada 2020, mengetuai kerajaan melalui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2021 dan kemudian menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.

Mohamad sendiri mengakui bahawa UMNO berada dalam “survival mode”, meneroka pelbagai formula bagi memastikan kelangsungan politiknya.

Namun survival tidak boleh menjadi strategi kekal. PRU15 merupakan amaran yang keras. BN hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen daripada 178 yang ditandinginya, prestasi pilihan raya umum terburuk gabungan itu ketika itu.

UMNO sendiri memenangi hanya 26 kerusi. Dengan kata lain, mempunyai tempat dalam kerajaan tidak semestinya bermakna sesebuah parti telah pulih dari segi kekuatan elektoral.

Menariknya, Mohamad tidak menutup pintu kepada kerjasama. Ucapannya menyatakan UMNO terbuka kepada kerjasama Melayu-Islam, tetapi kerjasama itu mestilah jelas, ikhlas dan tidak bersifat bermusim.

Beliau mahukan bentuk kerjasama yang “luwes”, bukannya satu perikatan baharu yang mengikat UMNO sehingga kehilangan kebebasan membuat pertimbangan sendiri.

Itu menunjukkan satu pemikiran yang penting, di mana parti yang lemah berunding kerana memerlukan perlindungan tetapi parti yang kuat berunding kerana melihat peluang strategik. Mohamad mahu UMNO berada dalam kategori kedua.

Pada masa yang sama, beliau turut memahami bahawa kekuatan Melayu sahaja tidak memadai untuk mentadbir Malaysia.

Dalam bahagian lain ucapannya, beliau mengingatkan bahawa bukan Melayu serta parti-parti Sabah dan Sarawak kini merupakan kuasa penentu. Era menganggap mereka sebagai “deposit simpanan tetap” telah berlalu.

Sebab itu beliau kemudiannya menegaskan UMNO mesti kekal sentris, sederhana dan nasional, tidak bergerak ke arah ekstrem kanan atau kiri serta tidak menjadikan politik Melayu satu ancaman kepada komuniti lain.

Di sinilah ucapan Mohamad menunjukkan bacaan politik yang lebih luas daripada sekadar slogan penyatuan Melayu.

Penyelidikan ISEAS mengenai vote transferability membuktikan mengapa pendekatan itu mempunyai asas. Pakatan elit tidak menjamin pemindahan sokongan akar umbi.

Logo gabungan tidak secara automatik mengubah psikologi pengundi. Jawatan kerajaan pula tidak dapat menggantikan kepercayaan politik.

Justeru, inti ucapan Mohamad boleh dirumuskan dengan mudah, iaitu kerjasama boleh menjadi jambatan, tetapi jangan menjadikannya tongkat.

Dalam landskap politik Malaysia yang semakin cair, pemimpin yang memahami perbezaan antara kedua-duanya sedang membaca realiti politik dengan jauh lebih berhati-hati daripada mereka yang menyangka formula kerjasama semata-mata boleh menjamin masa depan.

* Dr Hussain Yusri Zawawi ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-undang & Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)