Tekad Young Tigers benam India

Iklan
Skuad Young Tigers akan berdepan India dalam saingan separuh akhir Piala Remaja Asia di China pada Jumaat. Foto: Asian Hockey Federation

SKUAD hoki remaja lelaki negara tidak mahu sekadar melengkapkan kemaraan ke separuh akhir Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China, sebaliknya menyasarkan kemenangan ke atas juara bertahan, India pada Jumaat.

Ketua jurulatih negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui India memiliki kekuatan tersendiri namun percaya anak buahnya mampu memberi tentangan sengit dalam aksi penentuan itu.

Iklan
Iklan

"Bagi perlawanan menentang India, kami memang sudah biasa berdepan dengan mereka sebanyak lima kali sebelum ini. India adalah pasukan yang bagus.

"Kami turun dengan misi untuk cuba memenangi perlawanan. Kami akan cuba menutup kelebihan yang mereka ada dan pada masa sama mencari peluang untuk mendapatkan gol bagi memastikan kami mampu meraih kemenangan," katanya.

Iklan

Skuad Young Tigers bagaimanapun berdepan sedikit kekangan apabila kehilangan khidmat pemain tengah, Gagandeep Singh yang terpaksa diketepikan selepas menerima dua kad kuning sepanjang kejohanan.

Nor Saiful tetap positif dengan kekuatan pasukannya apabila mengesahkan pemain lain berada dalam keadaan baik dan tiada kecederaan dilaporkan menjelang pertemuan penting itu.

Iklan

"Pemain-pemain lain berada dalam keadaan baik dan setakat ini tiada kecederaan. Insya-ALLAH, saya percaya barisan pemain akan memberikan yang terbaik dalam aksi separuh akhir menentang India nanti," katanya.

Malaysia melangkah ke kelompok empat terbaik selepas menamatkan saingan Kumpulan B di tempat kedua dengan sembilan mata, sekali gus mencapai sasaran awal untuk menempah tiket automatik ke Piala Dunia Hoki Remaja tahun depan.

Skuad negara memastikan kemaraan itu selepas menewaskan tuan rumah China 1-0 dalam aksi terakhir kumpulan pada Rabu.

Muhammad Safwan Salihe muncul wira apabila jaringan padangnya pada minit kelapan menjadi pemisah dalam perlawanan berkenaan.

Enam pasukan terbaik daripada kejohanan di Moqi itu akan diberikan tiket automatik ke Piala Dunia Hoki Remaja tahun depan.

Selepas sasaran awal dicapai, Nor Saiful kini mahu barisan pemainnya mengekalkan fokus bagi memburu pencapaian lebih baik, dengan cabaran India menjadi ujian terbesar setakat ini.

Malaysia pernah muncul juara kejohanan berkenaan pada edisi 2012 di Melaka dan kejayaan itu kekal sebagai pencapaian terbaik negara.