JENTAYU FC muncul juara Piala DZR - Liga Kedah 2026 selepas menewaskan Lone Jr FT 4-3 dalam perlawanan akhir penuh dramatik yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), di sini pada Sabtu.
Aksi yang bermula pada jam 8.45 malam itu menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan dalam perlawanan sengit sehingga terpaksa diheret ke masa tambahan sebelum juara akhirnya ditentukan.
Lone Jr FT terlebih dahulu mengejutkan lawan apabila Ahmad Hakimey meledak gol pembukaan seawal minit ketiga.
Namun, kelebihan itu hanya bertahan empat minit apabila Aidil Danial berjaya menyamakan kedudukan buat Jentayu FC pada minit ketujuh.
Lone Jr FT kembali berada di hadapan menerusi jaringan Muhammad Fikri pada minit ke-23 sebelum Faiz Hanif Adnan memastikan Jentayu FC kembali mengikat kedudukan 2-2 enam minit kemudian.
Keputusan tersebut kekal sehingga tamat masa sebenar permainan meskipun kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang berbahaya, sekali gus menyaksikan perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.
Dalam babak tambahan, Jentayu FC memanfaatkan peluang dengan baik apabila Aidil Danial menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-97 untuk meletakkan pasukannya mendahului buat kali pertama dalam perlawanan itu.
Momentum cemerlang Jentayu FC diteruskan apabila Faiz Hanif Adnan turut mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-108 untuk melebarkan kedudukan kepada 4-2.
Bagaimanapun, Lone Jr FT enggan mengibarkan bendera putih apabila Muhd Syamer merapatkan jurang menerusi jaringan pada minit ke-110 bagi menghidupkan semula peluang pasukannya.
Walaupun diasak pada minit-minit terakhir permainan, Jentayu FC berjaya mempertahankan kelebihan tipis tersebut sehingga wisel penamat ditiupkan untuk muncul juara edisi kedua kejohanan berkenaan.
Kejayaan itu menyaksikan Jentayu FC membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, manakala Lone Jr FT selaku naib juara menerima RM6,000 pada edisi penganjuran kali kedua itu.
Mada FC dan Gaban Jerlun FC pula menamatkan saingan sebagai pemenang tempat ketiga bersama dengan masing-masing menerima RM1,500.
Perlawanan akhir tersebut turut disaksikan barisan kepimpinan Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) serta wakil ahli gabungan badan induk bola sepak negeri itu.
Sementara itu, Penaung Bolasepak Melayu Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, liga itu bukan sekadar platform pertandingan, malah menjadi medan terbaik untuk mengenal pasti bakat-bakat baharu yang berpotensi menyarung jersi Kedah Darul Aman pada masa depan.
Menurut beliau, kejohanan yang dianjurkan secara tahunan itu berjaya menghimpunkan ramai pemain muda berbakat yang memiliki potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Saya dapat melihat ramai pemain yang boleh diketengahkan untuk membawa bakat mereka bermain bagi Kedah Darul Aman selepas ini.
“Saya akan berusaha mencungkil bakat menerusi setiap kejohanan yang dianjurkan. Kejohanan tahunan ini diharap dapat membantu membentuk dan menggilap pemain berbakat supaya mampu memberikan sumbangan terbaik kepada Kedah,” katanya.