RUU PIN rangkum mitigasi, adaptasi perubahan iklim – NRES

Iklan
Malaysia kini mengambil pendekatan melaksanakan tindakan mitigasi dan adaptasi secara serentak bagi menghadapi risiko perubahan iklim yang semakin kompleks. Gambar hiasan

PUTRAJAYA- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi jaminan aspek adaptasi tidak diketepikan dalam Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN), sebaliknya menjadi sebahagian daripada kerangka tindakan Malaysia dalam menghadapi risiko perubahan iklim.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, NRES memaklumkan RUU PIN merangkumi kedua-dua aspek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim bagi memastikan tindakan berkaitan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, bersepadu, telus dan mempunyai akauntabiliti yang jelas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendekatan berasaskan analisis risiko dan kerentanan iklim menjadi antara elemen penting dalam tindakan adaptasi bagi mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko perubahan iklim secara lebih sistematik.

“Pendekatan ini juga akan menyokong pembangunan sasaran adaptasi kebangsaan dengan mengambil kira risiko dan keperluan pelbagai sektor,” katanya.

Iklan

Ujar NRES, bagi menyokong proses berkenaan, RUU PIN akan memperkukuh keupayaan kerajaan mendapatkan dan mengurus data serta maklumat berkaitan perubahan iklim daripada pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.

Jelas kementerian, sasaran adaptasi itu kemudiannya akan diterjemahkan melalui pembangunan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) bagi memperkukuh daya tahan negara terhadap kesan perubahan iklim, selaras dengan hala tuju Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0).

Iklan

“Selain itu, Kumpulan Wang Perubahan Iklim di bawah RUU PIN akan menyediakan sumber pembiayaan khusus bagi menyokong pelaksanaan tindakan perubahan iklim, termasuk langkah-langkah adaptasi,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian menjelaskan RUU PIN perlu dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem dasar dan perundangan perubahan iklim negara yang saling melengkapi, bukannya secara berasingan daripada dasar, strategi, pelan tindakan dan instrumen sedia ada.

NRES berkata, RUU PIN berperanan menyediakan asas perundangan bagi memperkukuh tadbir urus, penyelarasan dan pelaksanaan tindakan perubahan iklim, manakala instrumen lain mempunyai fungsi khusus masing-masing.

Menurutnya, Malaysia kini mengambil pendekatan melaksanakan tindakan mitigasi dan adaptasi secara serentak bagi menghadapi risiko perubahan iklim yang semakin kompleks, termasuk banjir, cuaca ekstrem, kenaikan paras laut, hakisan pantai serta kesan terhadap sumber air, pertanian, kesihatan, infrastruktur dan ekosistem.

“Secara asasnya, mitigasi menangani punca perubahan iklim melalui usaha mengurangkan pelepasan gas rumah kaca, manakala adaptasi mengurangkan risiko serta meningkatkan daya tahan terhadap kesan perubahan iklim.

“Kedua-duanya perlu dilaksanakan secara seimbang kerana tindakan adaptasi melindungi rakyat dan negara daripada kesan perubahan iklim, manakala tindakan mitigasi penting untuk mengurangkan peningkatan risiko tersebut dalam jangka panjang,” ujarnya.

NRES pada masa sama menegaskan pelaksanaan agenda perubahan iklim memerlukan pendekatan menyeluruh membabitkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, industri, akademia, masyarakat sivil dan komuniti.

Katanya, penyelarasan di peringkat nasional penting bagi memastikan dasar dan komitmen perubahan iklim dapat diterjemahkan kepada tindakan yang konsisten, berkesan dan memberi impak di lapangan.