UMNO sentiasa terbuka bekerjasama demi perjuangan bangsa, agama- Mohamad Hasan

Iklan
Mohamad Hasan berucap pada Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - UMNO sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi kelangsungan perjuangan bangsa dan agama, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, parti itu tidak pernah menutup ruang bagi merealisasikan kesatuan bangsa Melayu merentasi parti dan ideologi.

Iklan
Iklan

"Percayalah, jika sesiapa juga yang datang kepada UMNO dan menggagaskan kesatuan Melayu, UMNO akan menyambutnya dengan berlapang dada, tetapi kerjasama itu mestilah ada kejelasannya,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun kerjasama itu mesti dianjurkan dengan niat yang ikhlas serta bersandarkan kepentingan strategik politik Melayu-Islam.

Iklan

"Bukan berjeda atau ada agenda-agenda dan terputus-putus. Bukan bermusim dan bukan sama sekali untuk mengambil kesempatan atas kekuatan atau kelemahan UMNO.

"Pendirian UMNO sangat jelas. Anda ikhlaskan diri, kami juga akan ikhlaskan segalanya, insya-ALLAH. Justeru, penyatuan politik Melayu itu boleh berlaku pada bila-bila masa dalam apa jua keadaan,” katanya.

Iklan

Mohamad berkata, kerjasama itu juga mesti bersandarkan visi Rumah Bangsa yang dipelopori UMNO.

"Kerjasama itu mesti dinaungi oleh UMNO. Ia mesti menjadikan UMNO itu asas, tiang seri dan prinsip utuh yang mengikat semua kepada kepentingan Melayu.

"UMNOlah yang telah membidani kelahiran nasionalisme Melayu dan ia akan terus menjadi payung yang memayungi kesatuan bangsa Melayu untuk selamanya,” katanya.

Beliau turut menegaskan supaya tidak berprasangka terhadap visi Rumah Bangsa hanya kerana ia diilhamkan oleh UMNO.

Beliau berkata apa juga kerjasama politik yang diusahakan dalam konteks perpaduan Melayu-Islam mestilah bersifat anjal ataupun fleksibel.

"Persefahaman dan kerjasama yang longgar, bukan perjanjian yang mengikat. Kita tidak suka diikat, juga mengikat. UMNO mahukan kebebasan untuk bertindak sesuai dengan perhitungan politiknya,” katanya.

Dalam masa sama, Mohamad turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu UMNO secara langsung mahupun tidak langsung.

Sementara itu, Mohamad turut menekankan bahawa nasionalis UMNO tidak boleh terjebak dalam krisis fitnah dan cercaan.

"Kita mesti memerangi segala berita palsu dan fitnah terhadap UMNO, tetapi jangan sesekali terlibat dalam penyebaran fitnah dan berita tidak sahih tentang lawan kita.

"Cara politik kita mestilah beretika. Ramai sekali rakyat di luar sana yang menjadi mangsa maklumat tidak betul, dan mereka terpaksa membayar harga yang sangat mahal untuk memulihkan reputasi mereka,” katanya.

Antara yang hadir pada majlis perasmian itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 berlangsung dari 9 hingga 12 Sept di WTC, dengan perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti itu berlangsung esok melibatkan 1,163 perwakilan sayap Wanita, 1,171 Pemuda dan 1,145 Puteri. - Bernama