SHAH ALAM - Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik 25 sen bagi tempoh 10 September hingga 16 September ini.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, harga RON97 ditetapkan pada RM4.50 seliter berbanding RM4.25 sebelum ini, RON95 tanpa subsidi pada harga RM4.02 seliter berbanding RM3.77 dan diesel tanpa subsidi pula ditetapkan pada RM4.92 seliter berbanding RM4.67.
Pada masa sama, harga petroleum bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi RON95 mengikut BUDI Madani RON95 (BUDI95), manakala RM2.10 seliter bagi diesel berdasarkan program BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel).
Harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.
MOF menjelaskan, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.03 seliter bagi pengguna yang layak BUDI95, bersamaan dengan 50 peratus daripada hargaRON95 tanpa subsidi semasa.
Bagi BUDI Diesel pula, subsidi ditanggung adalah RM2.82 seliter atau 57 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi.
Dalam pada itu kementerian memaklumkan, harga minyak mentah dunia meningkat ketara sepanjang tempoh pengiraan harga APM susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran yang kembali meruncing serta peningkatan risiko gangguan bekalan petroleum melalui Selat Hormuz.
Pada masa sama, pasaran produk petroleum bertapis dunia kekal ketat serta gangguan kapasiti penapisan di Asia Barat dan serangan berterusan terhadap loji penapisan Rusia telah mengurangkan bekalan petrol, diesel dan produk petroleum lain ke pasaran antarabangsa.
"Selepas 193 hari konflik di Asia Barat, aliran petroleum melalui Selat Hormuz dan kapasiti penapisan global masih belum kembali normal.
"Sekiranya keadaan ini berpanjangan, inventori yang semakin menyusut serta bekalan produk petroleum bertapis yang semakin ketat boleh meningkatkan premium risiko terhadap harga petrol dan diesel dunia," menurutnya.
MOF berkata, kerajaan akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk mengekalkan subsidi bersasar BUDI Madani bagi pengguna yang layak.
Kerajaan juga ujarnya akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.