Tangguh sementara FDS, teliti semula elaun petugas kesihatan berisiko - Hartal Doktor Kontrak

Iklan
- Sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima penumpang termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), kira-kira 929 kilometer dari Kuching pada Selasa. Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menangguhkan sementara Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) sehingga pemeriksaan lengkap dan menyeluruh terhadap semua helikopter berusia, kemudahan, rekod penyelenggaraan serta prosedur operasi selesai dijalankan pihak berkuasa kawal selia berkaitan.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK) berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Menteri Kesihatan perlu mengambil kira perasaan ahli keluarga mangsa serta petugas kesihatan yang terkesan dengan tragedi nahas helikopter pada Selasa, sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan kesinambungan perkhidmatan itu.

Iklan
Iklan

"Tunjukkan sifat empati kepada staf anda. Nyawa kami tidak harus diperjudikan," katanya.

Sebelum ini Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilapor menegaskan, tiada keperluan untuk menghentikan perkhidmatan FDS yang memainkan peranan penting dalam memastikan liputan kesihatan sejagat khususnya kepada masyarakat di kawasan pedalaman.

Iklan

Beliau berkata, perkhidmatan itu akan diteruskan meskipun berlaku nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada petang Selasa.

Helikopter yang berlepas dari Miri itu membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) dan dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi selain seorang juruterbang.

Iklan

Dalam perkembangan sama, jurucakap HDK itu turut menggesa kerajaan mengkaji semula kadar insentif diterima petugas kesihatan bagi perkhidmatan berisiko.

"Kadar ini sudah tidak relevan pada masa kini dengan risiko yang dihadapi petugas kesihatan," ujarnya.

Bersasarkan dokumen Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia mengenai Elaun Dalam Perkhidmatan Awam, kadar bayaran insentif perkhidmatan kesihatan udara ditetapkan pada kadar RM30, masing-masing bagi satu penerbangan pergi dan balik dalam sehari dan satu penerbangan pergi dan balik melibatkan hari berlainan.

Sekiranya dalam sehari melibatkan lebih dari satu penerbangan, kadar ditetapkan RM30 bagi setiap bilangan penerbangan pergi dan balik.

Sementara itu dalam hantaran di Facebook, HDK turut mendesak kerajaan menyediakan peruntukan belanjawan khusus bagi menaik taraf, menggantikan atau menyelenggara mana-mana pesawat, peralatan atau kemudahan yang dikenal pasti perlu.

"Parlimen juga mesti meneliti semula elaun bagi petugas kesihatan yang terlibat dalam FDS agar setimpal dengan tahap risiko yang mereka tanggung.

"Perkhidmatan ini bukan sebahagian daripada skop tugas biasa mereka berbanding ramai rakan sekerja lain dan mereka mesti diberi pampasan yang adil kerana menanggung risiko tambahan ini.

"Perlindungan indemniti dan insurans sewajarnya perlu diwajibkan kepada semua kakitangan yang terlibat dalam perkhidmatan berisiko tinggi," katanya.