IPOH - Enam anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama lima ejen direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik kenderaan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Norizan Riduan terhadap tujuh lelaki dan empat wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu.
Mahkamah membenarkan kesemua suspek direman sehingga Isnin depan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu.
Kesemua mereka telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perak kira-kira jam 10 malam pada Selasa.
Sumber memaklumkan, siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai berpakat mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik melibatkan 16 nombor pendaftaran kenderaan.
Perbuatan itu dipercayai berlaku sekitar tahun 2025 apabila ejen-ejen terbabit disyaki bersekongkol dengan penjawat awam bagi mengemukakan dokumen tidak sah.
"Dokumen palsu tersebut digunakan untuk membolehkan proses pertukaran hak milik kenderaan dilakukan secara tidak sah," kata sumber itu.