GEORGE TOWN - Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan cuba membunuh seorang lelaki dengan melanggarnya menggunakan kereta dalam kejadian rusuhan bersenjata di Air Itam pada 29 Ogos lalu.
Tertuduh, Lim Boon Sik, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.
Mengikut pertuduhan, Boon Sik didakwa melanggar Yeap Jhun Ee, 25, menggunakan kereta Perodua Axia dengan mengetahui perbuatan itu boleh menyebabkan kematian mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Paya Terubong 3, Blok B, Bandar Baru di sini kira-kira jam 12.30 tengah malam, 29 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mana-mana individu, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 selain syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam bela yang hanya mahu dikenali sebagai Tan memohon jumlah jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya masih muda, mempunyai alamat tetap di negeri ini dan tidak berisiko melarikan diri.
Peguam tertuduh turut memaklumkan anak guamnya bersedia melaporkan diri kepada pihak berkuasa seperti ditetapkan dan memberi jaminan tidak akan mengganggu saksi pendakwaan.
Beliau turut memohon mahkamah menggunakan budi bicara di bawah Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah untuk membenarkan jaminan selain merujuk beberapa kes terdahulu membabitkan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Juraidah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada hari pertama setiap bulan sehingga kes selesai serta melarangnya daripada mengganggu saksi pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan pada 7 Oktober depan bagi membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen berkaitan.
Sebelum ini media melaporkan polis menahan 23 lelaki menerusi beberapa siri serbuan di Pulau Pinang dan Selangor bagi membantu siasatan berkaitan kes merusuh menggunakan senjata di hadapan SJK(C) Kong Min Cawangan Kedua, Air Itam pada 29 Ogos lalu.
Polis turut mengesahkan pergaduhan bersenjata itu dipercayai tercetus akibat salah faham berkaitan isu hutang dan melibatkan kumpulan menggunakan nama Geng 04.
Siasatan polis mendapati hutang berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan pinjaman wang tidak berlesen.