70 peratus kuarters guru di Perak tidak didiami

Iklan
Khairudin

IPOH - Hampir 70 peratus kuarters guru di Perak tidak didiami berikutan keadaan fizikal yang kurang kondusif, selain faktor lokasi dan sebahagian warga pendidik mempunyai kediaman sendiri.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, daripada keseluruhan 3,547 unit kuarters guru di bawah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak hanya 1,085 unit atau 30.6 peratus sedang diduduki.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 2,462 unit atau 69.4 peratus lagi tidak berpenghuni, termasuk 833 unit yang dikenal pasti berada dalam keadaan baik dan boleh diduduki.

“Antara punca ialah keadaan fizikal kuarters yang kurang kondusif. Warga pendidik mahukan suasana yang selesa, selamat dan ceria.

Iklan

Khairudin berkata, faktor lain termasuk lokasi kuarters yang kurang strategik selain sebahagian warga pendidik memilih untuk tinggal di rumah sendiri atau menyewa kediaman yang lebih murah mengikut kawasan berbanding jumlah potongan imbuhan tetap perumahan dan imbuhan sara hidup.

Katanya, dasar dan garis panduan pengurusan kuarters Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sedang berkuat kuasa membenarkan permohonan penyewaan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta jabatan atau agensi kerajaan lain.

Iklan

Menurut beliau, di Perak, KPM sudah meluluskan beberapa permohonan penyewaan kuarters kepada syarikat swasta dan NGO.

“Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) turut mengadakan lawatan tapak ke beberapa kuarters di daerah Kinta pada 20 Mei 2024 bagi menilai kesesuaian menjadikan kuarters berkenaan sebagai rumah sewa di bawah Skim Sewa Perak Sejahtera (SPSS).

“Namun, sebahagian kuarters pendidikan di Perak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi sehingga mencecah jutaan ringgit,” katanya.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan cadangan menggunakan kuarters kosong yang tidak mendapat permintaan dalam kalangan warga pendidik atau kakitangan kerajaan lain perlu diperhalusi secara menyeluruh kerana membabitkan implikasi kewangan yang besar.

Katanya, bagaimanapun, KPM dan JPN Perak sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi mengoptimumkan penggunaan kuarters pendidikan supaya dapat memberi manfaat yang lebih luas kepada rakyat negeri ini.