DAPSY silap sasaran, jangan perlekeh 27 pelajar cemerlang STPM

Iklan
Tindakan DAPSY membungkus persoalan tentang ketelusan kemasukan universiti dalam serangan peribadi yang melampau terhadap menteri dan memperlekeh sebuah inisiatif yang memberi manfaat nyata kepada pelajar cemerlang.

SELARAS dengan kebebasan bersuara yang diamalkan di negara ini, hak sesiapa sahaja untuk mengkritik mana-mana menteri atau kementerian tidak pernah dipersoalkan. Menteri Pendidikan Tinggi juga tidak kebal daripada teguran.

Namun begitu, kenyataan Ketua Pemuda DAP (DAPSY), Woo Kah Leong, mengenai tajaan kepada 27 pelajar terbaik STPM 2025 bukan sekadar keras malah sebahagian kritikannya amat keterlaluan, sangat berbentuk serangan peribadi dan melampaui perbezaan dasar yang munasabah sehingga menggambarkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, sebagai lapuk, reaktif, tidak berpandangan jauh, tidak mempunyai keberanian kepimpinan dan sekadar bergerak setelah Perdana Menteri menunjukkan jalan.

Iklan
Iklan

Zambry

Ini bukan lagi sekadar mempertikaikan dasar. Itu sudah menghampiri serangan terhadap kewibawaan intelektual dan kemampuan kepimpinan seseorang menteri.

Iklan

Lebih mengecewakan, serangan tersebut dibina dengan mencampuradukkan reformasi kemasukan universiti dengan program khas menghargai kecemerlangan pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

1. “Jangan hilang gambaran besar” - tetapi DAPSY sendiri yang kehilangan gambaran besar

Iklan

Tajaan kepada 27 pelajar tidak pernah diumumkan sebagai penyelesaian muktamad kepada seluruh masalah pendidikan tinggi Malaysia. Maka menyerang program tersebut kerana ia 'hanya' melibatkan 27 orang adalah serangan terhadap sesuatu yang tidak pernah pun didakwa oleh KPT.

Program KPT-MPM itu mempunyai objektif khusus untuk memberi pengiktirafan kepada pelajar terbaik STPM dan membantu mereka meneruskan kecemerlangan di universiti. Seramai 27 pelajar di 18 UA menerima tajaan, termasuk enam di UM, empat di UPSI dan masing-masing dua di UKM dan UPM.

Penggunaan ungkapan sinis “mere 27 sponsorships” amat tidak kena pada tempatnya. Bagi DAPSY mungkin “hanya 27”. Bagi 27 pelajar dan keluarga mereka, tajaan itu ialah pengiktirafan terhadap bertahun-tahun kerja keras.

Jangan kerana ghairah mahu menyerang menteri, pencapaian anak-anak muda pula diperkecilkan.

2. “Pelajar mahu sistem adil, bukan 27 tajaan” - satu dikotomi palsu

Hujah ini secara logiknya lemah. Mengapa Malaysia mesti memilih antara memperbaiki sistem kemasukan dengan menghargai pelajar cemerlang? KPT boleh melakukan kedua-duanya serentak.

Jika DAPSY benar-benar memperjuangkan meritokrasi, bukankah mereka sepatutnya menjadi antara pihak pertama menyambut baik tindakan memberikan tajaan kepada pelajar terbaik berdasarkan kecemerlangan?

Lebih pelik apabila program yang meraikan merit dijadikan bahan serangan dalam kenyataan yang kononnya mahu mempertahankan meritokrasi.

3. Mengheret “brain drain” ke dalam isu 27 tajaan adalah lompatan logik yang besar

Mengaitkan tajaan ini dengan kegagalan menangani brain drain kedengaran dramatik, tetapi tidak disertakan hubungan sebab-akibat yang meyakinkan. Brain drain melibatkan struktur gaji, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, ekosistem penyelidikan, mobiliti profesional, kualiti institusi dan pelbagai faktor lain.

Malah logiknya terbalik kerana memberikan insentif kepada pelajar terbaik supaya kekal belajar di universiti tempatan adalah sebahagian daripada usaha mengekalkan bakat dalam ekosistem negara.

Jadi, bagaimana sebuah program yang berpotensi membantu talent retention tiba-tiba dijadikan bukti brain drain?

4. Menuduh KPT “inaction and indifference” adalah retorik yang keterlaluan

DAPSY boleh berhujah bahawa reformasi perlu lebih cepat. Itu boleh diterima tetapi menggambarkan KPT sebagai tidak bertindak dan tidak peduli memerlukan seseorang menutup mata terhadap apa yang sedang dilaksanakan.

RPTM 2026–2035 dibangunkan dengan penglibatan 181 anggota pasukan penyedia dan 8,226 pihak berkepentingan, merangkumi akademia, industri, pelajar, kerajaan dan masyarakat. Ia mengangkat akses, teknologi, AI, penyelidikan serta daya saing antarabangsa sebagai agenda sepuluh tahun pendidikan tinggi negara.

Orang boleh mempertikaikan keberkesanannya kelak. Tetapi mengatakan kementerian “indifferent” kepada reformasi sebelum memberi pengiktirafan kepada proses reformasi sebesar ini adalah tidak adil.

5. Tuduhan KPT tidak menghargai merit bertembung dengan fakta

DAPSY mendakwa kegagalan reformasi menunjukkan kementerian tidak benar-benar menghargai bakat, merit dan prestasi akademik.

Masalahnya, sistem UPU sendiri menetapkan dasar pemilihan berasaskan meritokrasi meliputi 90 peratus markah akademik dan 10 peratus kokurikulum, dengan calon disusun daripada markah merit tertinggi kepada terendah, selain syarat program, temu duga atau ujian, kekosongan dan keutamaan pilihan.

Adakah sistem itu sempurna? Tidak. Bolehkah ia diperbaiki? Sudah tentu. Bagaimanapun, mendakwa KPT seolah-olah tidak menghargai merit ketika kementerian baru sahaja memberikan tajaan kepada pelajar kerana mereka merupakan antara yang terbaik dalam STPM adalah kontradiksi yang cukup ketara.

6. “Talent knows no race” - tepat dan program itu sendiri membuktikannya

Ini mungkin ironi terbesar kenyataan DAPSY. Zambry sendiri menegaskan bahawa setiap anak Malaysia perlu diberikan ruang untuk melanjutkan pengajian tanpa mengira latar belakang manakala program berkenaan melibatkan pelajar daripada pelbagai kaum dan disiplin.

Senarai penerima pula memperlihatkan kepelbagaian yang begitu nyata, daripada pelajar yang mengikuti perubatan, undang-undang dan kejuruteraan hinggalah pendidikan, kewangan, sains komputer dan analitik data.

Berdasarkan pecahan penerimanya pula, lebih separuh — atau 15 daripada 27 penerima — adalah bukan Melayu. Jika DAPSY mahu membawa slogan “talent knows no race”, program inilah contoh yang patut diraikan di mana merit diraikan tanpa menjadikan kaum sebagai tembok kepada kecemerlangan.

7. Pembasmian kemiskinan dan merit bukan musuh antara satu sama lain

DAPSY menyebut perlunya keseimbangan antara merit dan pembasmian kemiskinan. Ini betul, tetapi itulah juga roh program berkenaan.

Kisah Nurul Amira Wira dari Papar sangat bermakna. Wang simpanannya RM300 pernah habis untuk membeli buku rujukan ketika STPM, tetapi beliau akhirnya memperoleh GPA 4.00 bagi setiap semester.

Ini membuktikan bahawa meritokrasi dan mobiliti sosial boleh berjalan bersama. Mereka yang miskin tidak perlu dinafikan bantuan untuk mempertahankan merit manakala mereka yang cemerlang juga tidak harus dinafikan pengiktirafan atas nama agenda lain.

8–9. Mahu ketelusan? Baik, tetapi jangan berpura-pura sistem sekarang serba gelap

Cadangan DAPSY supaya lebih banyak data kemasukan diterbitkan mempunyai merit dan wajar dipertimbangkan tetapi janganlah pula menggambarkan sistem kemasukan universiti seolah-olah satu “kotak hitam” tanpa formula dan mekanisme yang diketahui.

Formula merit diterbitkan. Syarat am dan khas diterbitkan. e-Panduan disediakan. Calon dimaklumkan mengenai temu duga, ujian, kekosongan dan keutamaan pilihan. KPT sendiri menyatakan proses persaingan berdasarkan prinsip meritokrasi.

Maka perdebatan matang sepatutnya berbunyi bagaimana hendak menjadikan sistem sedia ada lebih telus bukan seolah-olah tidak wujud ketelusan langsung.

10. “KPT sentiasa selangkah di belakang”? Fakta RPTM menjadikan tuduhan ini kedengaran seperti slogan politik

Ini tuduhan besar yang memerlukan bukti besar. RPTM bukan rancangan satu atau dua tahun. Ia merangka pendidikan tinggi sehingga 2035, memasukkan AI dan teknologi dalam kurikulum serta penyelidikan dan membina agenda daya saing global. KPT pula telah mengenal pasti 208 inisiatif strategik untuk melaksanakan rancangan tersebut.

Malah Pelan Tindakan 2026–2028 sudah diterbitkan. Jadi apakah definisi “forward-thinking” DAPSY? Adakah kementerian hanya dianggap berpandangan jauh jika semua cadangan DAPSY diterima mengikut jadual dan formula DAPSY?

Kritik hasilnya jika gagal. Kritik kelajuannya jika lambat. Tetapi jangan menafikan kewujudan visi hanya kerana mahu menghasilkan satu serangan politik yang sedap dibaca.

11–12. Isu AUKU: kritikan DAPSY paling jelas menggunakan kronologi terpilih

Memang benar bahawa Zambry pernah menjelaskan sebelum ini bahawa KPT tidak bercadang memansuhkan AUKU sepenuhnya dan melihat penambahbaikan peruntukan tertentu sebagai lebih realistik.

Tetapi berhenti setakat fakta itu lalu mendakwa Zambry hanya “hastily followed suit” selepas PM bersuara adalah gambaran yang terlalu mudah. Agenda One Higher Education Act sudah menjadi sebahagian daripada RPTM yang diluncurkan pada 20 Januari 2026, berbulan-bulan sebelum pengumuman Perdana Menteri pada 15 Ogos 2026.

Jadi tidak tepat untuk mencipta gambaran seolah-olah PM bersuara pada satu hari, menteri terkejut pada hari berikutnya, lalu baru mendapat idea hendak melakukan reformasi.

Apa yang berubah selepas pengumuman PM ialah keputusan politik untuk menuju pemansuhan AUKU sepenuhnya manakala kerja pembaharuan kerangka undang-undang telah mempunyai asas sebelumnya.

Lebih penting, AUKU mempunyai 44 seksyen dan hanya tujuh berkaitan mahasiswa; selebihnya melibatkan asas penubuhan, pentadbiran, akademik dan tadbir urus universiti. Memansuhkannya bukan seperti menekan butang “delete”.

Tanpa mekanisme peralihan, persoalannya mudah, iaitu universiti hendak beroperasi di bawah kerangka undang-undang apa keesokan harinya? Itulah perbezaan antara slogan aktivisme dengan tanggungjawab pentadbiran sebuah kementerian.

13. “Archaic mindset”, tiada visi dan hanya bertindak selepas dikritik - di sinilah DAPSY melampaui batas kritikan dasar

Bahagian ini paling sukar dipertahankan sebagai kritikan dasar yang biasa. DAPSY bukan lagi semata-mata berkata sesuatu keputusan itu lambat atau salah. Mereka pada hakikatnya mempertikaikan visi, keberanian, daya fikir dan kapasiti kepimpinan Menteri secara peribadi.

Perkataan seperti "archaic mindset", tuduhan sentiasa “one step behind” dan gambaran bahawa menteri hanya bertindak setelah menerima tekanan awam membawa serangan itu ke tahap yang sangat peribadi dan luar biasa keras.

Lebih ironis, orang yang dituduh tidak mempunyai visi itu mengetuai kementerian yang sedang melaksanakan rancangan pendidikan tinggi sepuluh tahun, 208 inisiatif strategik, pelan tindakan tiga tahun, agenda AI dan reformasi besar kerangka perundangan pendidikan tinggi.

DAPSY bebas untuk tidak bersetuju dengan Zambry tetapi ketidaksetujuan tidak memberikan lesen untuk memadam semua fakta yang merosakkan naratif serangan mereka sendiri.

14. Reformasi kemasukan penting - tetapi mendakwanya “satu-satunya” jalan juga simplistik

Sistem kemasukan universiti memang perlu sentiasa diperbaiki tetapi masa depan generasi muda tidak bergantung kepada satu pintu sahaja. Pendidikan tinggi yang hebat menuntut serentak akses yang adil, bantuan kewangan, universiti berkualiti, kebolehpasaran graduan, penyelidikan bertaraf dunia, kebebasan akademik, transformasi digital, kemahiran masa hadapan dan ekonomi yang mampu menyediakan pekerjaan berkualiti.

Meletakkan seluruh masa depan anak muda Malaysia kepada satu isu kemasukan universiti sebenarnya bertentangan dengan “bigger picture” yang DAPSY sendiri minta orang lain lihat.

DAPSY perlu memilih antara mahu berbahas mengenai soal dasar atau mahu mencari sasaran untuk kepentingan politik. Jangan kerana mahu menyerang seorang menteri, 27 pelajar cemerlang STPM dijadikan prop dalam pertarungan politik.

Jangan kerana mahu menghasilkan tajuk yang keras, sebuah program meritokrasi dikecilkan sebagai “mere 27 sponsorships”. Dan jangan kerana mahu menggambarkan Dr Zambry sebagai menteri yang tidak mempunyai visi, fakta bahawa KPT sudah membina RPTM 2026–2035 dan memulakan agenda pembaharuan perundangan sebelum pemansuhan AUKU diumumkan sengaja dipinggirkan.

Malah, jika DAPSY benar-benar percaya bahawa “talent knows no race”, mereka sewajarnya mengalu-alukan satu program yang memberikan pengiktirafan kepada anak-anak Malaysia daripada pelbagai latar berdasarkan kecemerlangan.

Tindakan DAPSY membungkus persoalan tentang ketelusan kemasukan universiti dalam serangan peribadi yang melampau terhadap menteri dan memperlekeh sebuah inisiatif yang memberi manfaat nyata kepada pelajar cemerlang menjadikan DAPSY bukan sahaja tersalah sasaran malah berisiko menjadikan agenda reformasi pendidikan tinggi sebagai alat politik murahan sedangkan apa yang sepatutnya berada di tengah perbahasan ialah kepentingan mahasiswa dan masa depan pendidikan negara.

* Prof Madya Dr Bakti Hasan Basri ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM)